ISTANBUL: Algeria mengumumkan pada Khamis bahawa ia memutuskan hubungan diplomatik dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dengan menyatakan bahawa negara itu telah menggunakan “segala cara” untuk mengekalkan hubungan dua hala, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kementerian Luar dalam kenyataan yang disiarkan agensi media rasmi negara itu, Algeria Press Service (APS), memaklumkan Algiers menunjukkan “sikap menahan diri yang tinggi” dan “rasa tanggungjawab yang kuat” sebagai tindak balas terhadap tindakan UAE yang semakin “provokatif atau bersifat permusuhan”.
Menurut kementerian itu, Algeria berusaha sedaya upaya, berlandaskan semangat menghormati sepenuhnya prinsip yang mengawal hubungan antara negara, untuk menarik perhatian pihak UAE serta memberi amaran mengenai akibat serius yang mungkin timbul daripada tindakannya yang dikesali dan tidak berasas.
“Walaupun amaran berulang kali diberikan, UAE terus melakukan tindakan berkenaan sehingga mencapai tahap yang tidak lagi boleh dianggap wajar atau boleh ditoleransi dalam hubungan antara dua negara berdaulat, atau dibiarkan tanpa sebarang tindak balas,” menurut kenyataan itu.
“Selepas menggunakan segala cara untuk mengekalkan hubungan dua hala, kerajaan Algeria hari ini memutuskan hubungan diplomatik dengan Emiriah Arab Bersatu,” menurut kementerian itu.
Kementerian itu memaklumkan Duta UAE telah dipanggil ke kementerian berkenaan di Algiers pada Khamis dan dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan berkenaan.
Duta itu diberi tempoh 48 jam untuk mematuhi keputusan berkenaan.
UAE setakat ini belum memberikan sebarang ulasan mengenai keputusan Algeria itu.
-- BERNAMA-ANADOLU