INTERNATIONAL
Amaran tegas China kepada Trump: Kami tidak akan ‘tunduk’

Pergerakan kontena yang dirakamkan di sebuah pelabuhan terminal kontena di Sungai Yangtze, wilayah Chongqing di barat daya China. - Gambar fail
BEIJING: China telah menyampaikan mesej tegas kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerusi satu video dramatik yang dimuat naik di media sosial - menolak sekeras-kerasnya perang perdagangan yang dilancarkan oleh Washington dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk bangkit menentang “pemimpin yang membuli.”
“Menunduk kepada pembuli ibarat minum racun untuk hilangkan dahaga - ia hanya memburukkan lagi krisis,” menurut narator dalam video berdurasi lebih dua minit itu, yang disampaikan dalam bahasa Inggeris dengan sari kata dalam bahasa Mandarin.
“Sejarah membuktikan bahawa kompromi tidak membawa belas kasihan - tunduk hanya mengundang lebih banyak pembulian. China tidak akan tunduk.”
Video tersebut menyampaikan naratif sejarah yang menggambarkan tindakan Amerika Syarikat sebagai bentuk “pencerobohan ekonomi” - dengan menekan syarikat-syarikat seperti Toshiba dan Alstom sehingga terpaksa berpecah, mengalami krisis kewangan dan muflis.China turut mendakwa tindakan sedemikian telah menjerumuskan ekonomi Jepun ke dalam tempoh kemelesetan berpanjangan.
Sebaliknya, China menggambarkan dirinya sebagai negara yang menjunjung prinsip perdagangan bebas, serta destinasi pelaburan yang selamat dan boleh dipercayai oleh negara lain.
“China akan terus berdiri teguh, walau sehebat mana badai melanda,” kata narator video itu.
“Seseorang perlu tampil ke hadapan, membawa obor untuk menembusi kabus dan menerangi jalan ke hadapan.”
Retorik lantang ini disifatkan sebagai mesej keras kepada pentadbiran Trump selepas tindakan Washington meningkatkan lagi perang perdagangan yang sudah berlarutan serta seruan kepada negara-negara lain agar bangkit dan tidak tunduk pada hegemoni Amerika.
Walaupun video itu tidak secara langsung menyebut tarif 145 peratus yang dikenakan AS ke atas barangan import dari China - atau tarif balas 125 peratus oleh China terhadap barangan Amerika - penyiarannya dilihat sebagai respons jelas terhadap tekanan terbaharu dari Washington.
Trump baru-baru ini menyatakan, beliau menjangka tarif terhadap barangan China akan dikurangkan, manakala Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent turut menyifatkan kadar tarif yang terlalu tinggi itu sebagai “tidak mampan.”
Namun, Trump turut menegaskan China perlu mengemukakan tawaran yang kukuh untuk sebarang perjanjian dicapai.
China pula beberapa kali menafikan bahawa rundingan perdagangan aktif sedang berlangsung antara kedua-dua negara, walaupun Trump menyatakan komunikasi sentiasa berjalan.
Dalam masa sama, Amerika dilaporkan sedang mengadakan rundingan perdagangan dengan 17 negara lain dalam tempoh 90 hari, susulan penangguhan tarif balas setinggi 50 peratus terhadap berpuluh negara.
China dalam video tersebut turut menggesa negara-negara lain agar tidak berpihak kepada Amerika Syarikat dalam konflik ini.
“Kami tahu bahawa dengan mempertahankan diri, peluang untuk bekerjasama masih wujud,” kata China dalam video itu.
“China tidak akan berundur, demi memastikan suara yang lemah didengari, pembulian dihentikan dan keadilan tidak lenyap dari dunia.”
Antara mesej utama video itu ialah amaran bahawa Amerika Syarikat adalah negara yang “tidak boleh dipercayai.”
China turut menggelar AS sebagai “harimau kertas” dan menegaskan bahawa eksport dan import AS hanya mewakili kurang daripada satu perlima perdagangan global - sekali gus menolak tanggapan bahawa AS mewakili suara seluruh dunia.
“Apabila dunia bersatu dan berdiri teguh bersama, Amerika Syarikat hanyalah sebuah perahu kecil yang terdampar,” kata video itu lagi.
“Jangan silap - Amerika akan terus berbolak-balik dan bermain taktik keras.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami