CHICAGO: Anak kepada raja dadah Mexico Joaquin 'El Chapo', Ovidio Guzman Lopez mengaku tidak bersalah atas tuduhan pengedaran dadah pada Isnin semasa perbicaraan ringkas di bawah kawalan ketat di mahkamah persekutuan Chicago, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Memakai pakaian tahanan warna jingga, Guzman Lopez, 33, mendengar perbicaraan melalui jurubahasa Sepanyol, walaupun beliau ada kalanya menjawab soalan Hakim Daerah AS Sharon Johnson Coleman dalam bahasa Inggeris.

Pendakwa raya berkata dua daripada enam pertuduhan yang dihadapi Guzman Lopez membawa hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Hukuman mati telah digugurkan sebagai sebahagian daripada rundingan untuk ekstradisi Guzman Lopez dengan pihak berkuasa Mexico, menurut pendakwa raya.Guzman Lopez akan ditahan tanpa bon sementara menunggu perbicaraan. Tarikh perbicaraan seterusnya ditetapkan pada November.

Guzman Lopez, yang dikatakan telah mengambil alih kartel Sinaloa yang berkuasa selepas penahanan bapanya tujuh tahun lalu, adalah salah seorang daripada empat anak lelaki El Chapo, yang digelar "Chapitos".

Sementara itu, pihak berkuasa melaksanakan keselamatan ketat di Mahkamah Dirksen AS untuk penampilan pertama Guzman Lopez di mahkamah, dengan telefon bimbit dan elektronik lain diharamkan di kamar mahkamah.

--BERNAMA-dpa