BRUSSELS: Perdana Menteri Belgium Bart De Wever mengemukakan peletakan jawatannya pada Isnin selepas rundingan belanjawan gagal mencapai persetujuan, namun Raja Philippe menangguhkan keputusan sama ada untuk menerimanya, menurut kenyataan Istana Diraja menerusi platform X, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan itu, Raja Philippe akan memulakan rundingan dengan pemimpin parti dalam kerajaan campuran pada Selasa dan menerima menghadap De Wever sekali lagi pada Jumaat.
Istana Diraja memaklumkan bahawa Raja Philippe kesal dengan kegagalan mencapai persetujuan mengenai belanjawan yang diyakini mampu menangani cabaran semasa.
Menurut kenyataan itu, dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran ekonomi yang besar, Belgium tidak mampu berdepan krisis politik yang berpanjangan.
Raja Philippe turut menggesa semua pihak yang terlibat supaya mengutamakan kepentingan rakyat dan menunjukkan kesediaan untuk berkompromi.
Kerajaan campuran lima parti itu berusaha mencapai persetujuan mengenai pemotongan perbelanjaan dan kenaikan cukai berjumlah €10 bilion (kira-kira AS$11.2 bilion) bagi memperkukuh kedudukan kewangan awam, namun masih berbeza pendapat mengenai imbangan antara kedua-dua langkah berkenaan.
Parti N-VA pimpinan De Wever yang berhaluan nasionalis Flemish dan parti liberal MR menyokong kawalan perbelanjaan yang lebih ketat, termasuk dalam sektor penjagaan kesihatan.
Bagaimanapun, rakan mereka dalam kerajaan campuran daripada parti sosialis dan berhaluan tengah mahu sebahagian besar pelarasan belanjawan dilaksanakan menerusi cukai ke atas kekayaan.
Menurut Eurostat, defisit belanjawan Belgium mencecah 5.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, manakala hutang kerajaan berada pada paras 108.1 peratus daripada KDNK pada akhir tahun berkenaan.
Kedua-dua nisbah itu jauh melebihi nilai rujukan Kesatuan Eropah (EU), masing-masing sebanyak tiga peratus bagi defisit belanjawan dan 60 peratus bagi hutang kerajaan.
-- BERNAMA-XINHUA