Skip to main content

Malaysia

Banjir kilat: Laluan di KM 9.1-KM 9.4 NKVE antara Shah Alam, Setia Alam ditutup sementara

Pengguna lebuh raya turut dinasihatkan agar tidak meredah banjir kerana air yang kelihatan cetek juga boleh menyebabkan enjin kenderaan mati atau mengakibatkan kenderaan dihanyutkan arus. - X: @GCEtrafik
Pengguna lebuh raya turut dinasihatkan agar tidak meredah banjir kerana air yang kelihatan cetek juga boleh menyebabkan enjin kenderaan mati atau mengakibatkan kenderaan dihanyutkan arus. - X: @GCEtrafik
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kedua-dua laluan di KM 9.1 hingga KM 9.4 antara Setia Alam-Shah Alam Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) ditutup sementara untuk semua kenderaan berikutan tidak boleh dilalui akibat banjir kilat selepas hujan lebat pada 6.20 petang tadi.

PLUS Malaysia Berhad dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebagai langkah keselamatan segera, kenderaan dari arah Subang menghala ke selatan dilencong keluar dari NKVE melalui Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).

"Sementara itu, kenderaan dari arah Bukit Raja yang menghala ke utara pula dilencongkan keluar dari NKVE di Persimpangan Bertingkat Setia Alam," menurut kenyataan itu.

Advertisement

 Pengguna lebuh raya dinasihat merujuk saluran komunikasi rasmi PLUS, iaitu X @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Papan Tanda Mesej Elektronik (VMS), pembantu maya PLUS (PUTRI) dan platform media sosial rasmi PLUS untuk maklumat terkini berkenaan cuaca serta keadaan banjir selain laluan alternatif. 

Pengguna lebuh raya turut dinasihatkan agar tidak meredah banjir kerana air yang kelihatan cetek juga boleh menyebabkan enjin kenderaan mati atau mengakibatkan kenderaan dihanyutkan arus. 

Advertisement

"Sila patuhi semua papan tanda sementara dan arahan yang diberikan oleh petugas kami di lokasi," menurut PLUS.

Bagi mendapatkan bantuan segera, pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di talian 1-800-88-0000 menggunakan butang SOS menerusi Aplikasi PLUS atau berinteraksi dengan PUTRI.

  -- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement