Ringkasan AI
- Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan 8,569 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
- Kertas undi pos diagihkan kepada petugas pilihan raya, anggota keselamatan, petugas media, rakyat Malaysia di luar negara dan pegawai agensi tertentu.
- Pengundi pos diingatkan mengembalikan kertas undi sebelum 5 petang pada 14 November serta menjaga kerahsiaan undi masing-masing.
MELAKA: Sebanyak 8,569 kertas undi pos telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini kepada individu yang layak mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata daripada jumlah itu, sebanyak 8,041 kertas undi pos dikeluarkan kepada petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera serta petugas media yang memohon di bawah Kategori 1A.
Beliau berkata sebanyak 433 kertas undi pos dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara bagi Kategori 1B manakala 95 lagi kepada pegawai-pegawai bagi Kategori 1C dari agensi atau organisasi yang telah diluluskan oleh SPR dan tidak dapat hadir untuk mengundi kerana bertugas.
“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Shahril mengingatkan semua pengundi pos supaya menandakan kertas undi serta mengisi Borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) dengan lengkap dan betul.
Kertas undi berkenaan perlu segera dikembalikan kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berkenaan sebelum pukul 5 petang pada hari pengundian, iaitu 14 Nov.
Beliau turut mengingatkan pengundi agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.
SPR menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.
-- BERNAMA