BERLIN: Seekor anak ikan paus bongkok yang diberi nama Timmy berjaya dilepaskan ke Laut Utara selepas beberapa minggu terkandas di perairan cetek berhampiran Jerman, dalam satu operasi menyelamat yang menarik perhatian meluas media dan orang ramai.
Pasukan penyelamat memindahkan Timmy menggunakan sebuah tongkang berisi air sebelum melepaskannya ke perairan berhampiran Denmark pada Sabtu, ketika tahap kesihatannya semakin merosot.
Advertisement
Salah seorang pembiaya operasi itu, Karin Walter‑Mommert, berkata paus berkenaan kelihatan berenang bebas dan ke arah yang betul sejurus selepas dilepaskan.
Menurutnya, Timmy dijangka berenang menyusuri pantai Norway menuju ke perairan Artik.
Timmy pertama kali dikesan di pesisir Laut Baltik Jerman pada 3 Mac lalu dan berulang kali terperangkap di kawasan cetek walaupun usaha dilakukan untuk mengarahkannya kembali ke laut dalam.
Jauh daripada habitat asalnya di Lautan Atlantik, paus itu menunjukkan tanda tekanan dan mengalami masalah kesihatan, termasuk penyakit kulit akibat kandungan garam rendah di Laut Baltik.
Beberapa percubaan awal menyelamatkan Timmy gagal, mendorong pihak berkuasa pada satu ketika beranggapan peluang hidupnya tipis.
Inisiatif persendirian kemudiannya diluluskan kerajaan negeri Mecklenburg‑Western Pomerania, walaupun tindakan itu mencetuskan perdebatan awam.
Suruhanjaya Penangkapan Ikan Paus Antarabangsa sebelum ini menyatakan peluang hidup Timmy semakin kecil selepas beberapa kali terkandas.
Namun penggunaan tongkang khas akhirnya membolehkannya dikembalikan ke habitat semula jadi.
Punca ikan paus itu memasuki Laut Baltik masih tidak diketahui, namun pakar mengesyaki ia mungkin tersasar ketika mengikuti kumpulan ikan atau semasa migrasi.
Sebuah pemancar GPS dilaporkan dipasang sebelum pelepasan, membolehkan pergerakannya terus dipantau pada masa akan datang.