JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menggesa penduduk dan pengunjung supaya terus berwaspada serta berada sekurang-kurangnya dua kilometer (km) dari kawah aktif Anak Krakatau susulan letusan gunung berapi itu pada petang Khamis.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) memaklumkan letusan berlaku pada 6.28 petang waktu tempatan, namun ketinggian kolum letusan tidak dapat diperhatikan.
Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Lampung kemudiannya mengesahkan letusan itu telah berakhir.
"Kekal tenang dan berwaspada. Patuhi zon larangan dua kilometer, ikuti maklumat rasmi daripada PVMBG dan hanya kongsikan maklumat yang telah disahkan," menurut catatan agensi itu di media sosial.
Anak Krakatau kekal pada Tahap II, iaitu tahap kedua terendah dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat Indonesia.
Status amarannya diturunkan daripada Tahap III pada 21 Sept susulan penurunan aktiviti gunung berapi, namun pihak berkuasa terus memberi amaran mengenai potensi bahaya termasuk lontaran batuan gunung berapi dan hujan abu lebat.
Gunung berapi itu turut meletus dua kali pada Isnin.
-- BERNAMA