Skip to main content

Malaysia

Sukarelawan Jiwa Putra UPM ringankan beban komuniti terjejas banjir di Ijok

Sukarelawan UPM turun padang baru-baru ini menerusi Misi Sukarelawan Banjir bagi membantu membersihkan Masjid At-Taufiqiah yang terjejas akibat banjir di Bandar Seri Coalfields, Ijok, Kuala Selangor. - Foto Sukarelawan Pelajar UPM
Sukarelawan UPM turun padang baru-baru ini menerusi Misi Sukarelawan Banjir bagi membantu membersihkan Masjid At-Taufiqiah yang terjejas akibat banjir di Bandar Seri Coalfields, Ijok, Kuala Selangor. - Foto Sukarelawan Pelajar UPM
Advertisement

IJOK: Seramai 30 sukarelawan Universiti Putra Malaysia (UPM), terdiri daripada 24 pelajar dan enam staf, turun padang pada baru-baru ini menerusi Misi Sukarelawan Banjir bagi membantu membersihkan Masjid At-Taufiqiah yang terjejas akibat banjir di Bandar Seri Coalfields, di sini.

Masjid At-Taufiqiah sekali lagi dilanda banjir pada malam 17 November lalu, kira-kira dua minggu selepas kejadian sama pada 4 November.

Kejadian kedua bagi tahun 2026 itu disifatkan sebagai yang paling teruk sehingga menjejaskan ruang solat utama dan kawasan sekitarnya, sekali gus memerlukan usaha pembersihan bagi memastikan masjid dapat kembali digunakan oleh para jemaah.

Advertisement

Misi yang digerakkan oleh Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM itu antara lain memberi tumpuan kepada aktiviti gotong-royong pascabanjir bersama komuniti setempat bagi mempercepat proses pemulihan kawasan masjid.

Pengarah PKPP, Prof Madya Dr Mohd Mursyid Arshad berkata, penganjuran misi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UPM dalam memperkasakan budaya kesukarelawanan serta menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa dalam menyantuni keperluan masyarakat.

Advertisement

“Penglibatan mahasiswa dalam misi seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban komuniti yang terjejas, malah memberi pendedahan kepada mereka tentang realiti kehidupan masyarakat dan kepentingan untuk sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling.

“Kita mahu semangat Jiwa Putra terus diterjemahkan melalui tindakan dan sumbangan yang memberi manfaat kepada masyarakat, selari dengan moto UPM, Berilmu Berbakti, agar nilai keprihatinan dan kesukarelawanan menjadi sebahagian daripada jati diri warga universiti,” katanya kepada Astro Awani.

Sementara itu, sukarelawan UPM yang juga pelajar jurusan Pendidikan Sains Pertanian, Muhammad Yasir Suhair Yahaya, 25, menyifatkan penyertaannya dalam misi tersebut sebagai pengalaman bermakna yang membuka ruang untuknya menyumbang tenaga dan mendekati komuniti setempat.

“Saya berharap lebih ramai mahasiswa berani mengambil peluang untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan kerana pengalaman seperti ini mengajar kita untuk lebih memahami kesusahan orang lain dan menghargai erti kebersamaan.

“Bagi saya, sumbangan tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Masa dan tenaga yang kita berikan juga mampu membawa perubahan serta meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya.

Pelajar jurusan Sains Bioteknologi, Nur Irdeena Qasreena Nor Rolhakim, 22, pula berkata misi tersebut turut membuka ruang untuknya berinteraksi dengan komuniti setempat, termasuk beberapa penduduk yang merupakan alumni UPM.

“Saya seronok dapat berkenalan dan berbual dengan penduduk di sini. Ada antara mereka yang merupakan alumni UPM, jadi banyak pengalaman yang dapat kami kongsikan bersama.

“Walaupun baru pertama kali bertemu, mereka sangat mesra dan mudah didekati. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan kerana selain membantu masyarakat, kami juga dapat menambah kenalan dan belajar daripada pengalaman hidup mereka,” ujar beliau.

Bagi penduduk Ismail Nordin, 73, kehadiran sukarelawan UPM amat dihargai kerana dapat meringankan beban komuniti dalam usaha membersihkan masjid yang menjadi tempat mereka menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat.

“Kami sangat bersyukur apabila sukarelawan UPM sanggup datang membantu membersihkan masjid ini. Selepas dua kali dilanda banjir, banyak kerja pembersihan perlu dilakukan dan kehadiran mereka amat meringankan beban kami.

“Saya gembira melihat mahasiswa UPM dapat berganding bahu dengan penduduk setempat. Walaupun baru pertama kali datang, mereka mudah bekerjasama dan tidak kekok melakukan kerja-kerja pembersihan. Kami berharap masjid ini dapat kembali bersih dan selesa digunakan oleh para jemaah,” katanya.

Misi ini adalah siri ketiga program kesukarelawanan Jiwa Putra UPM bagi tahun 2026. 
 

Must Watch Video

Advertisement