Skip to main content

Malaysia

Yayasan Khazanah rai 20 tahun pemberian biasiswa, lahirkan pemimpin berprinsip ke arah memajukan Malaysia

Sambutan ulang tahun ke-20 Yayasan Khazanah menghimpunkan Amirul Feisal, Amir Hamzah serta bekas Pengerusi Yayasan Khazanah, Datuk Seri Mustapa Mohamed; barisan pemegang amanah dan tetamu kehormat bagi meraikan dua dekad usaha melahirkan pemimpin berprinsip serta memacu kemajuan Malaysia. - Foto Yayasan Khazanah
Sambutan ulang tahun ke-20 Yayasan Khazanah menghimpunkan Amirul Feisal, Amir Hamzah serta bekas Pengerusi Yayasan Khazanah, Datuk Seri Mustapa Mohamed; barisan pemegang amanah dan tetamu kehormat bagi meraikan dua dekad usaha melahirkan pemimpin berprinsip serta memacu kemajuan Malaysia. - Foto Yayasan Khazanah
Advertisement

KUALA LUMPUR: Selepas dua dekad menyokong 1,893 rakyat Malaysia menerusi biasiswa dan pembangunan kepimpinan, Yayasan Khazanah (YK) mencadangkan enam bidang tumpuan biasiswa bagi tempoh 2027 hingga 2046 untuk memenuhi keperluan kepakaran negara.

Pengerusi Yayasan Khazanah merangkap Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, usaha itu perlu memperluas peluang kepada bakat di seluruh negara sambil membina kepakaran dan kepimpinan yang diperlukan Malaysia.

“Dalam kerangka Ekonomi MADANI, kita membicarakan dua aspirasi yang mesti bergerak seiring: menaikkan lantai dan menaikkan siling.

Advertisement

“Menaikkan lantai bermakna mengakui bahawa bakat ada di mana-mana, tetapi peluang tidak tersedia di semua tempat.

“Menaikkan siling pula bermakna membina kepakaran yang mendalam dan kepimpinan yang diperlukan Malaysia untuk mencapai aspirasinya,” katanya dalam ucapan pembukaan Forum Ulang Tahun Ke-20 Yayasan Khazanah, menurut kenyataan media yayasan itu.

Advertisement

Forum bertemakan 20 Years Forward: Nurturing Leaders of Purpose, Advancing Malaysia itu dirasmikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Forum berkenaan menghimpunkan penerima biasiswa, alumni, pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC), penyedia biasiswa dan rakan kerjasama, dengan sesi perkongsian mengenai sains dan teknologi, impak sosial, seni serta warisan.

Tiga daripada enam bidang yang dicadangkan ialah digital, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi; kewangan, pelaburan dan pertumbuhan perusahaan; serta industri termaju, kejuruteraan dan infrastruktur.

Tiga lagi bidang ialah kesihatan, sains hayat dan keterjaminan makanan; peralihan tenaga dan kelestarian; serta sektor awam, pembangunan sosial dan kebudayaan.

Menjelang 2046, yayasan itu menyasarkan pembangunan bakat dalam bidang berkenaan melalui biasiswa yang meliputi beberapa tahun pengajian, program pembangunan berstruktur serta kerjasama dengan universiti, Khazanah, GLC, majikan, mentor dan alumni.

Image
YK 20TH INSERT
Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, menyampaikan ucapan pembukaan sempena sambutan ulang tahun ke-20 Yayasan Khazanah. -Kredit Yayasan Khazanah

Ditubuhkan pada 21 Julai 2006 sebagai cabang biasiswa Khazanah Nasional Berhad, Yayasan Khazanah turut menyediakan bimbingan, pembangunan sahsiah, peluang menjadi sukarelawan dan pendedahan kepada pelbagai persekitaran kerja.

Antara alumninya ialah Nelson Ng, yang mengasaskan bersama ProjectEd bagi menyokong pelajar yang kurang mendapat akses kepada peluang pendidikan, dan Dr Dahlila Putri, yang membangunkan teknologi pembelajaran Braille.

Dalam sektor tenaga, Syed Malek Faisal mengetuai bahagian tenaga boleh baharu Gentari di Malaysia, manakala Kaautam Uthaya Suriyan mengetuai usaha pengekalan pelanggan di Tune Talk, termasuk usaha menambah baik tawaran kepada pelanggan prabayar B40 dan M40.

“Kita memerlukan saintis, jurutera dan usahawan yang berani melangkaui batas sedia ada. Namun, kita juga memerlukan ahli sejarah, penggiat seni dan pemikir yang memperkaya pemahaman kita tentang dunia serta mencabar kita untuk melihatnya daripada sudut berbeza.

“Ini kerana kemajuan bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi juga melalui kualiti masyarakat kita dan peluang yang kita wujudkan untuk orang lain,” kata Amirul Feisal.

Sempena ulang tahun itu, yayasan turut memperkenalkan semula Khazanah Scholarship Alumni Association (KSAA) bagi menghubungkan alumni daripada pelbagai generasi dan bidang dengan penerima biasiswa yang lebih muda melalui bimbingan, perkongsian ilmu serta jaringan profesional.

Kisah penerima biasiswa dan alumni, serta sumbangan mereka dalam memajukan Malaysia, boleh diikuti menerusi akaun Instagram rasmi Yayasan Khazanah. 

Image
YK 20TH INSERT
Penerima biasiswa Yayasan Khazanah bergambar bersama sempena sambutan ulang tahun ke-20 yayasan itu. -Kredit Yayasan Khazanah

Must Watch Video

Advertisement