Skip to main content

Advertisement

Dunia

Anak lelaki Robert Mugabe didakwa cuba membunuh di Afrika Selatan

Bellarmine Chatunga Mugabe, son of late Zimbabwean president Robert Mugabe, looks on during his court appearance on attempted murder charges, after a gardener was shot and injured last week at the Johannesburg mansion where Chatunga was staying, at the Alexandra Magistrate's Court in Johannesburg, South Africa February 23, 2026. REUTERS/Oupa Nkosi
Anak lelaki bongsu kepada bekas pemimpin Zimbabwe, Robert Mugabe didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh di Afrika Selatan. - Gambar fail Reuters

JOHANNESBURG: Anak lelaki bongsu kepada bekas pemimpin  Zimbabwe, Robert Mugabe didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh di Afrika Selatan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bellarmine Mugabe hadir pada pagi Isnin bersama seorang lagi defendan di hadapan Mahkamah Majistret Alexandra di hab ekonomi Johannesburg.

Advertisement

Mugabe mengesahkan identiti dan namanya namun tidak memberikan sebarang ulasan mengenai pertuduhan dikenakan.

Mugabe, yang menurut polis berusia 28 tahun, ditahan pada Khamis di kediamannya di pinggir bandar eksklusif Hyde Park, Johannesburg, selepas  seorang daripada pekerjanya mengalami dua kesan tembakan.

Menurut pihak polis, mangsa kini berada dalam keadaan kritikal.

Polis memaklumkan, kelongsong peluru ditemukan di tempat kejadian, namun tiada senjata api dijumpai.

Mugabe dan rakan defendannya turut didakwa atas pertuduhan menghalang keadilan serta pemilikan senjata api secara haram.

Peguam Mugabe telah memohon ikat jamin pada Isnin, dan mahkamah dijadualkan mengumumkan keputusan permohonan itu pada 3 Mac.

Sementara itu, siasatan lanjut akan diteruskan dan kedua-dua defendan akan terus berada dalam tahanan.

Robert Mugabe yang lama memerintah Zimbabwe, mentadbir negara yang bersempadan dengan Afrika Selatan itu dari 1980 sehingga digulingkan oleh pihak tentera pada 2017.

Pemimpin kontroversi, yang berubah daripada seorang pejuang kebebasan dan ikon harapan global kepada pemerintah autoritarian  sepanjang hampir empat dekad berkuasa, meninggal dunia dua tahun kemudian.

--BERNAMA-dpa 

 

 

 

Must Watch Video