LONDON: Anak kepada Putera Harry dan Meghan Markle akan bertukar sekolah selepas hanya dua hari memulakan sesi persekolahan berikutan kebimbangan mengenai aspek keselamatan ketika perjalanan mereka ke sekolah, menurut jurucakap pasangan itu pada Isnin.
Putera Archie, 7, dan Puteri Lilibet, 5, mula bersekolah pada September selepas keluarga mereka berpindah ke Britain bulan lalu, menamatkan enam tahun menetap di California, Amerika Syarikat.
Lokasi kediaman baharu keluarga Sussex serta maklumat mengenai sekolah anak-anak mereka dirahsiakan atas faktor keselamatan.
Namun, jurucakap Duke dan Duchess of Sussex mengesahkan laporan bahawa Archie dan Lilibet akan berpindah ke sekolah lain selepas hanya dua hari berada di sekolah asal.
Menurut jurucakap itu, jarak perjalanan antara rumah dan sekolah asal, selain masalah kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan berkenaan, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pasukan keselamatan keluarga tersebut.
“Keputusan untuk menukar sekolah anak-anak dibuat selepas perbincangan dengan pasukan keselamatan keluarga mengenai aspek praktikal dalam pengaturan semasa mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan, keputusan itu tidak mempunyai kaitan dengan kualiti sekolah berkenaan.
“Ibu bapa mereka amat menghargai kasih sayang, perhatian dan usaha yang ditunjukkan oleh semua guru serta kakitangan sekolah terhadap keluarga mereka.
"Keputusan ini sama sekali tidak boleh ditafsirkan sebagai gambaran terhadap pihak sekolah atau tahap penjagaan cemerlang yang diterima oleh anak-anak mereka di sana,” katanya.
Harry dan Meghan melepaskan peranan sebagai anggota kanan keluarga diraja Britain pada 2020 sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat.
Langkah itu mencetuskan hubungan yang renggang dengan institusi diraja selepas pasangan tersebut membuat beberapa kenyataan kritikal terhadap keluarga diraja.
Kepulangan mereka ke Britain bulan lalu dilaporkan mengejutkan ramai pihak, termasuk Raja Charles III yang hanya dimaklumkan mengenai rancangan tersebut beberapa hari sebelum ia diumumkan kepada umum.
Pasangan itu kini tidak menetap di mana-mana kediaman rasmi diraja dan kekal sebagai anggota diraja yang tidak menjalankan tugas rasmi, selaras dengan persetujuan yang dicapai bersama mendiang Ratu Elizabeth II sebelum mereka berpindah ke Amerika Syarikat.
Status mereka sebagai individu persendirian turut disahkan menerusi sepucuk surat yang mendapat kebenaran Raja Charles III dan dihantar kepada pegawai kanan kerajaan Britain minggu lalu.
Jurucakap pasangan itu berkata, perkembangan tersebut juga menjadi sesuatu yang tidak dijangka oleh Harry dan Meghan.
Sebelum ini, Harry secara terbuka mengkritik keputusan kerajaan Britain menarik perlindungan polis automatik yang diberikan kepada beliau dan keluarganya, berbeza dengan anggota kanan keluarga diraja lain.
Ketika ini, tahap perlindungan keselamatan Putera Harry sedang dinilai semula oleh sebuah jawatankuasa kerajaan, manakala jurucakap pasangan itu mengesahkan bahawa kedudukan keselamatan Meghan turut sedang dikaji buat kali pertama sejak mereka meninggalkan Britain. - Agensi