SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menggerakkan 7,677 anggota daripada pelbagai agensi bagi memastikan tahap kesiapsiagaan optimum dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan hingga Mac 2027.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata langkah itu melibatkan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN), pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah serta agensi berkaitan bagi memastikan penyelarasan operasi dan pemantauan kawasan berisiko dapat dilaksanakan dengan pantas.
“Penyelarasan operasi, pemantauan kawasan berisiko dan kesiapsiagaan aset perlu dipastikan berada pada tahap optimum bagi membolehkan tindakan segera diambil sepanjang tempoh monsun ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kesiapsiagaan operasi turut disokong oleh 708 kenderaan darat, 247 aset pengangkutan air serta pelbagai peralatan, termasuk 5,739 khemah, jaket keselamatan (1,950), pam air (141), jet air (48), gergaji rantai (192) dan 20 dron bagi menyokong operasi menyelamat, pemindahan serta bantuan kecemasan.
“Berdasarkan unjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor, jumlah hujan tahunan pada 2026 dianggarkan sebanyak 2,232 milimeter (mm). Setakat Ahad lepas, sebanyak 1,460 mm atau 65 peratus telah direkodkan.
“Bagi November dan Disember pula, Selangor dijangka menerima taburan hujan masing-masing sebanyak 268 mm dan 230 mm,” katanya.
Bagi memantau risiko banjir, Jamaliah berkata JPS Selangor memastikan pemantauan hidrologi dilaksanakan menerusi 221 stesen telemetri hujan, stesen telemetri aras air (124), siren amaran (140) dan 72 kamera IP.
Beliau berkata infrastruktur pengurusan aliran air juga diperkukuh dengan penyediaan 353 pintu air, pam tetap (161 unit) serta 150 unit pam bergerak, disokong pasukan teknikal Bahagian Pengurusan Mekanikal dan Elektrikal (BPME).
“Berdasarkan data asas 2025, JPS mengenal pasti 56 lokasi sebagai hotspot banjir dan 232 kawasan berisiko. Daerah Klang mencatatkan hotspot tertinggi, iaitu 13 lokasi diikuti Petaling (11), Gombak (10) dan Hulu Langat (sembilan).
“Selain hujan lebat, fenomena air pasang besar turut menjadi faktor risiko yang perlu diberi perhatian khusus oleh penduduk di pesisir pantai dan muara sungai di Klang, Sepang, Petaling, Kuala Langat, Sabak Bernam serta Kuala Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, Jamaliah berkata sebanyak 1,161 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dikenal pasti untuk menempatkan mangsa bencana, merangkumi 696 sekolah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 242 dewan awam, 135 balai raya serta sekolah bukan seliaan KPM, masjid, surau dan pusat komuniti.
Beliau berkata semua agensi turut diminta memastikan PPS berada dalam keadaan selamat, dilengkapi kemudahan asas dan mempunyai bekalan makanan mencukupi, selain menjaga kebajikan golongan rentan.
Sehubungan dengan itu, Jamaliah menasihatkan penduduk Selangor sentiasa peka terhadap amaran cuaca menerusi portal Public InfoBanjir JPS dan aplikasi myCuaca versi 3.0 Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), selain mematuhi arahan pemindahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.
-- BERNAMA