KUALA LUMPUR: Lebih 2.45 juta imej digital dokumen bersejarah milik negara yang tersimpan di institusi arkib dan perpustakaan terkemuka di United Kingdom (UK) telah dikenal pasti oleh Arkib Negara dalam usaha memperluas akses kepada rekod sejarah negara.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran berkata bahan tersebut melibatkan ratusan ribu koleksi akhbar era kolonial serta dokumen rasmi pentadbiran terdahulu yang didigitalkan untuk tujuan pemeliharaan dan rujukan sejarah.
“Arkib Negara telah mengenal pasti di British Library, koleksi digital British Library Newspaper yang mempunyai 553,000 imej. Seterusnya, di National Archives of UK dan Gale Cengage, koleksi digital Colonial Office yang mempunyai 1.9 juta imej yang telah di dalam koleksi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di Dewan Rakyat hari ini.
Yuneswaran berkata operasi pengesanan dan penyelidikan rekod bersejarah negara di peringkat antarabangsa giat dijalankan dari semasa ke semasa melibatkan pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Turkiye, Mesir dan Norway, meskipun memerlukan perbelanjaan yang besar.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat menyumbangkan bahan bersejarah yang mempunyai nilai dokumentasi kepada Arkib Negara bagi memastikan warisan negara terus dipelihara untuk generasi akan datang.
“Kalau ada koleksi tempatan berkenaan dengan adat, budaya dan agama, bolehlah kita sampaikan kepada Arkib Negara untuk kita buat dokumentasi untuk masa depan,” katanya.
Sementara itu, Yuneswaran berkata sebuah perpustakaan akan dibina di Negeri Sembilan dengan peruntukan bernilai RM94.7 juta di bawah perbelanjaan pembangunan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bagi tahun depan.
“Pada 2027, PNM mendapat kelulusan dua projek sambungan dan satu projek baharu di bawah belanja pembangunan. Satu daripada projek itu ialah pembinaan perpustakaan baharu di Negeri Sembilan dengan anggaran kos RM94.7 juta,” katanya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM793,039,400 yang diperuntukkan kepada KPN dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 13 Ahli Parlimen.
-- BERNAMA