SEOUL: Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun bersetuju mengadakan latihan pertahanan peluru berpandu dan antikapal selam secara berkala bagi mengatasi ancaman Korea Utara yang semakin meningkat.

Kesepakatan itu dicapai pada sesi Rundingan Tiga Pihak Pertahanan (DTT) yang berlangsung di Washington pada Jumaat (waktu Washington), di tengah-tengah ketegangan yang berpunca daripada ujian senjata Pyongyang baru-baru ini, termasuk peluru berpandu balistik antara benua Hwasong-18 (ICBM) pada Khamis.

"Semua wakil bersetuju untuk menjalankan latihan pertahanan peluru berpandu dan antikapal selam secara berkala untuk menghalang dan bertindak balas terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

"Mereka juga bersetuju mengadakan perundingan mengenai cara untuk menyambung semula program latihan tiga hala, termasuk untuk sekatan maritim dan operasi anticetak rompak," lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan akhbar kementerian pertahanan Seoul pada Sabtu.

Timbalan Menteri Pertahanan Korea Selatan bagi Dasar Heo Tae Keun, Penolong Setiausaha Pertahanan AS untuk Hal Ehwal Keselamatan Indo-Pasifik Ely Ratner dan Ketua Pengarah Dasar Pertahanan Jepun Kazuo Masuda mengetuai delegasi masing-masing pada sesi DTT itu.

DTT sebelum ini berlangsung pada 2020. Perbincangan tidak diadakan pada 2021 dan tahun lepas di tengah-tengah pandemik COVID-19 serta ketegangan antara Seoul dan Tokyo.

-- BERNAMA