KAHERAH: Gabungan Kebangsaan bagi Kerja Pembangunan Masyarakat (NACDW) Mesir pada Sabtu melancarkan konvoi bantuan kemanusiaan ke-14 ke Semenanjung Gaza, membawa kira-kira 1,400 tan bekalan bantuan menggunakan lebih 100 trak, lapor Xinhua memetik agensi berita rasmi Mesir, MENA.
Konvoi yang disertai 13 pertubuhan kebajikan di bawah gabungan itu membawa bekalan makanan, tepung, selimut, pakaian, ubat-ubatan serta pelbagai keperluan lain bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.
Menurut MENA, gabungan itu sebelum ini telah menghantar lebih 75,000 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi 13 konvoi.
Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Gaza dalam laporan harian terbaharunya pada Sabtu memaklumkan bahawa enam lagi rakyat Palestin terbunuh dan 26 cedera dalam tempoh 48 jam lepas.
Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa pada Oktober 2025 meningkat kepada 1,580 orang, manakala 5,711 lagi cedera.
Menurut pihak berkuasa kesihatan, jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang terkorban sejak konflik bermula pada Oktober 2023 kini meningkat kepada 74,594 orang, manakala 175,834 lagi cedera.
-- BERNAMA-XINHUA