KUALA LUMPUR: Kerjasama rentas parti menerusi Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) penting bagi membina konsensus Parlimen untuk menjayakan reformasi institusi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau menyambut baik pendirian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong pelaksanaan CSA serta mencadangkan kerjasama itu diperluas kepada parti pembangkang.
Beliau berkata perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat, malah pendekatan itu membuka ruang kepada 218 daripada keseluruhan 222 Ahli Dewan Rakyat, selepas empat yang meletak jawatan untuk turut memainkan peranan dalam proses demokrasi berparlimen.
“Ini bagi memastikan suara rakyat yang diwakili oleh Ahli Parlimen masing-masing turut terlibat dalam menentukan hala tuju dan masa depan institusi negara melalui proses perbahasan dan pengundian di Parlimen,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata reformasi berkenaan merangkumi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, yang memerlukan penelitian dan sokongan merentas parti memandangkan ia melibatkan kepentingan negara serta pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pendekatan kerjasama seumpama itu pernah dilaksanakan ketika UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan pada penggal lepas.
Azalina berkata sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional (BN) akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam memelihara kestabilan politik, memperkukuh institusi demokrasi dan memastikan pentadbiran negara berjalan dengan berkesan demi kepentingan rakyat.
Semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menyifatkan CSA sebagai perkembangan positif bagi menyantuni dan menangani permasalahan rakyat.
Pada Khamis lepas, Kerajaan MADANI menandatangani CSA dengan enam Ahli Parlimen Parti Bersatu yang diketuai Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tujuh Ahli Parlimen lain, termasuk Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata perjanjian itu bertujuan memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan serta pelaksanaan agenda pembangunan negara, termasuk Belanjawan 2027, berjalan dengan berkesan demi kepentingan rakyat.
-- BERNAMA