Korea Selatan optimis penularan wabak COVID-19 di negara tersebut terkawal walaupun terdapat peningkatan jangkitan secara mendadak melibatkan kes import.

Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan republik itu, Yoon Tae-ho dalam satu taklimat pada Jumaat berkata penyebaran wabak COVID-19 ternyata semakin stabil di kawasan metropolitan Seoul yang padat dan beberapa bandar besar yang lain yang menyaksikan peningkatan jangkitan sejak akhir Mei.

"Selama seminggu ini, kes penularan tempatan nampaknya semakin perlahan. Bilangan kes jangkitan tempatan adalah sekitar 10 kes, jadi ia menyaksikan trend menurun.

"Kes jangkitan juga semakin berkurangan, jadi kami melihat tanda-tanda bahawa kami semakin pulih hasil daripada langkah kuarantin.

"Kami juga melihat kestabilan di wilayah, dengan sekitar 10 kes jangkitan baharu setiap hari di kawasan metropolitan dan bilangan pesakit baharu di Daejeon juga menurun," katanya

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan melaporkan 60 kes baharu, termasuk 39 kes yang berkaitan individu yang tiba dari luar negara.

Yoon berkata kes import kurang memberi ancaman jika dibandingkan dengan penularan tempatan kerana Korea Selatan mengenakan kuarantin untuk tempoh dua minggu terhadap semua yang tiba dari luar negara dan menyaring mereka dalam tempoh tiga hari.

Kerajaan republik itu merancang untuk membawa pulang lebih pekerja Korea Selatan dari Iraq pada minggu depan kerana penularan wabak yang semakin meningkat di situ.

Pihak berkuasa kesihatan mengesahkan terdapat 34 kes positif COVID-19 dalam kalangan 300 pekerja pembinaan yang pulang pada awal minggu ini.