ISTANBUL: Seorang anggota pasukan pengaman Indonesia yang berkhidmat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam satu letupan di sebuah pangkalan di selatan Lubnan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
UNIFIL memaklumkan pada Jumaat bahawa Koperal Rico Pramudia, 31, cedera parah dalam satu "letupan projektil" di sebuah pangkalan di Adchit al-Qusayr pada malam 29 Mac lepas dan kemudiannya meninggal dunia di sebuah hospital di Beirut.
Advertisement
"UNIFIL amat kesal dengan pemergian Koperal Rico Pramudia hari ini," menurut misi itu dalam satu kenyataan.
Tanpa menamakan pihak terlibat, pasukan itu menggesa semua entiti supaya menghormati kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa dan menjamin keselamatan serta perlindungan kakitangan dan kemudahan PBB.
"Serangan sengaja terhadap pasukan pendamai merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan 1701, serta boleh dianggap sebagai jenayah perang," menurut kenyataan itu.
Kematian Rico menjadikan jumlah keseluruhan anggota pengaman Indonesia yang terkorban di selatan Lubnan seramai empat orang dalam insiden berasingan sejak 29 Mac.
Pada Khamis, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bahawa gencatan senjata antara Israel dan Lubnan telah dilanjutkan selama tiga minggu susulan perbincangan di peringkat duta di Rumah Putih.
Gencatan senjata selama 10 hari yang diusahakan AS itu berkuat kuasa pada 16 April dan dijadualkan tamat pada Ahad ini.
Sejak 2 Mac, serangan Israel yang semakin meluas ke atas Lubnan telah mengorbankan lebih 2,200 orang dan menyebabkan lebih sejuta penduduk hilang tempat tinggal, menurut pihak berkuasa Lubnan.
-- BERNAMA-ANADOLU