DUNIA
Angka kematian akibat banjir di Eastern Cape, Afrika Selatan meningkat kepada 86 orang

Anggota penyelamat menjalankan tugas di kawasan dilanda banjir di Mthatha, wilayah Eastern Cape, Afrika Selatan, 12 Jun 2025. REUTERS
CAPE TOWN: Angka kematian akibat banjir besar di Wilayah Eastern Cape, Afrika Selatan telah meningkat kepada 86 orang, menurut pengesahan seorang pegawai kanan kerajaan pada Sabtu, lapor Xinhua.
Menteri Polis Afrika Selatan Senzo Mchunu mengumumkan angka terbaharu itu ketika berucap kepada anggota polis dan pasukan kecemasan yang terlibat dalam usaha menyelamat di Mthatha, kawasan yang paling teruk terjejas akibat bencana tersebut.
"Malangnya, kita sedia maklum ramai yang telah terkorban dan angka keseluruhan di wilayah ini kini meningkat kepada 86. Ini sememangnya satu tragedi dan kita semua amat sedih dengan perkembangan ini," katanya.
Keadaan cuaca buruk termasuk hujan lebat dan salji telah menyebabkan kerosakan besar di beberapa bahagian wilayah berkenaan awal minggu ini, mengakibatkan kehilangan nyawa serta kemusnahan meluas terhadap infrastruktur.Banjir yang mula melanda pada Isnin turut memusnahkan kediaman, kemudahan kerajaan, jalan raya, hospital dan sekolah, sekali gus menyebabkan ratusan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Presiden Cyril Ramaphosa yang melawat wilayah itu pada Jumaat, berikrar kerajaan akan terus menyalurkan bantuan kepada komuniti terjejas. Beliau turut mencadangkan supaya Hari Peringatan Kebangsaan diisytiharkan bagi mengenang mangsa yang terkorban dalam bencana itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami