BANDARAYA GAZA: Angka kematian akibat serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober meningkat kepada 11,500, termasuk 4,710 kanak-kanak dan 3,160 wanita, menurut pejabat media kerajaan di Gaza pada Rabu.

"Jumlah kematian membabitkan kakitangan perubatan kini mencecah 200," Agensi Anadolu memetik kenyataan pejabat terbabit menerusi hantaran Telegram.

Sementara itu, 22 anggota pertahanan awam dan 51 wartawan turut terbunuh, manakala bilangan mangsa yang cedera telah mencecah 29,800 dengan kira-kira 70 peratus daripadanya adalah kanak-kanak dan wanita.

Sebanyak 95 bangunan kerajaan, 255 sekolah dan 74 masjid musnah manakala 162 mengalami kerosakan, termasuk tiga gereja, menurut kenyataan itu.

Tentera Israel turut mensasarkan 52 pusat kesihatan dan 55 ambulans, sementara 25 hospital tidak lagi berfungsi.

"Tentera Israel menyerang ramai pesakit dan mereka yang hilang tempat tinggal, serta beberapa kakitangan perubatan dan jururawat di dalam Kompleks Perubatan Al-Shifa, memaksa mereka menanggalkan pakaian dan menghina mereka," menurut kenyataan itu.

Tentera Israel menyerbu Kompleks Perubatan Al-Shifa pada Rabu setelah pusat perubatan itu dikepung selama beberapa hari.

Pejabat kerajaan menyalahkan "Israel dan masyarakat antarabangsa khususnya Amerika Syarikat, yang bertanggungjawab sepenuhnya atas jenayah perang terancang yang dilakukan oleh tentera penjajah terhadap hospital" dan menyeru "pembukaan lintasan Rafah dan kemasukan bantuan dengan kadar segera."

-- BERNAMA