Angkatan Tentera Benin gagalkan cubaan pemberontakan, kata Menteri Dalam Negeri

Sebahagian orang awam yang berkumpul di pinggir jalan ketika politik Benin sedang bergolak. - AP
COTONOU: Angkatan Tentera Benin berjaya menggagalkan cubaan pemberontakan yang bertujuan menggugat negara dan institusinya, kata Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan Awam Alassane Seidou dalam satu kenyataan pada Ahad, lapor Xinhua.
Seidou membuat kenyataan itu selepas terdahulu sekumpulan anggota tentera mengumumkan hari ini menerusi penyiar nasional Benin TV bahawa Presiden Patrice Talon telah "digugurkan daripada jawatan".
Menurut menteri itu, angkatan tentera dan kepimpinannya, "yang setia pada sumpah mereka", bertindak mempertahankan republik dan berjaya mengawal keadaan serta menggagalkan cubaan itu. Kerajaan menyeru orang ramai meneruskan aktiviti harian seperti biasa.
Dalam kenyataan berasingan kepada majalah mingguan Perancis Jeune Afrique pada Ahad pagi, Menteri Negara yang bertanggungjawab terhadap ekonomi dan kewangan, Romuald Wadagni, berkata keadaan adalah "terkawal".
"Para pemberontak terperangkap. Kami sedang membersihkan kawasan, namun keadaan belum sepenuhnya selesai. Kami selamat," katanya sambil menambah bahawa helikopter sedang membuat rondaan dan kawasan pusat Cotonou diperkukuh kawalannya oleh angkatan tentera.
Ada penduduk tempatan memberitahu Xinhua melalui telefon bahawa di Cotonou, pusat ekonomi dan bandar terbesar negara itu, serta kawasan sekitarnya, anggota tentera bersenjata ditempatkan di persimpangan utama, sementara penduduk meneruskan rutin harian dan pasar-pasar utama kekal dibuka.
Terdahulu pada Ahad, kumpulan tentera berkenaan yang menggelarkan diri mereka sebagai "Jawatankuasa Ketenteraan untuk Pembaharuan (CMR)" bermesyuarat dan memutuskan bahawa "Patrice Talon digugurkan daripada fungsinya sebagai presiden republik".
Tembakan turut dilaporkan di Kem Guezo, berhampiran kediaman presiden di Cotonou, dan media tempatan melaporkan bahawa tentera telah mengambil alih stesen penyiar negara. Namun, Pejabat Presiden berkata presiden berada dalam keadaan selamat dan pasukan keselamatan kerajaan telah mengawal semula keadaan.
Benin yang terletak di Afrika Barat meliputi keluasan kira-kira 112,000 kilometer persegi dan mempunyai populasi sekitar 14 juta orang.
Dari segi sejarah, negara itu dianggap antara yang lebih aman dan stabil di rantau berkenaan, namun tetap mengalami beberapa rampasan kuasa dan cubaan rampasan kuasa sejak merdeka daripada Perancis pada 1960.
Kestabilan politik dikekalkan sejak 1991 selepas dua dekad pemerintahan Mathieu Kerekou yang menamakan semula negara itu sebagai Republik Rakyat Benin.
Talon pertama kali memegang tampuk kuasa pada Mac 2016 dan dipilih semula pada April 2021. Beliau dijadual berundur selepas Pilihan Raya Presiden pada April 2026. Wadagni dilihat sebagai calon utama, manakala calon pembangkang Renaud Agbodjo dihalang oleh suruhanjaya pilihan raya kerana kekurangan penajaan.
Pada November, badan perundangan meluluskan pelanjutan tempoh penggal presiden daripada lima kepada tujuh tahun dengan mengekalkan had dua penggal.
Perkembangan semasa di Benin berlaku ketika rantau Afrika Barat berdepan gelombang pengambilalihan kuasa oleh tentera. Hanya pada hujung November lepas, rampasan kuasa di Guinea-Bissau menggulingkan Presiden Umaro Embalo susulan pilihan raya yang dipertikaikan dan menyaksikan kedua-dua penyandang dan pembangkang mengisytihar kemenangan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


