PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin menaikkan hukuman penjara daripada 10 kepada 14 tahun terhadap seorang peniaga yang menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin, 47, sehingga koma, lima tahun lalu.
Panel tiga hakim, dipengerusikan Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya tertuduh dikenakan hukuman maksimum.
Advertisement
Semasa membaca keputusan sebulat suara, Noorin berkata, selain hukuman penjara bermula Isnin, Rosmaini Abd Raof, 43, selaku perayu, dikehendaki membayar pampasan sebanyak RM25,000 kepada Jahidah, melalui wakil keluarga yang menjaganya.
Sekiranya perayu gagal membayar pampasan berkenaan, dia akan dipenjara selama enam bulan.
Menurutnya, kes ini wajar dikenakan hukuman maksimum sebagaimana diperuntukan undang-undang kerana dapat mencerminkan keseriusan kes selain memenuhi keadilan dan memberi mesej tegas oleh mahkamah kepada masyarakat.
"Hukuman penjara 10 tahun ternyata tidak memadai.
"Ini bukan kes menyebabkan kecederaan parah yang biasa, sebaliknya fakta kes menunjukkan suatu serangan yang kejam dan berterusan oleh seorang suami terhadap isteri yang mengandung," katanya.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Jahidah dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan, dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) negeri itu.
Jahidah dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kanak-kanak itu disahkan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).