Skip to main content

Malaysia

Suara aset penting, jangan abaikan tanda awal kerosakan pita suara

Sumber: Astro AWANI
UKMSC beroperasi di dalam kampus Pusat Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Kuala Lumpur dengan menawarkan gabungan kepakaran akademik universiti serta perkhidmatan kesihatan swasta yang lebih fleksibel dan selesa.

KUALA LUMPUR: Suara bukan sekadar alat komunikasi harian, malah merupakan aset penting yang mencerminkan personaliti, emosi dan keyakinan diri seseorang. 

Menurut Pakar Perunding Otorinolaringologi (Laringologi), UKM Specialist Centre, Prof Datuk Dr Marina Mat Baki, ramai masih memandang ringan kepentingan menjaga kesihatan suara walaupun ia memainkan peranan besar dalam kehidupan seharian dan kerjaya. 

Advertisement

“Suara adalah medium utama kita berhubung dengan dunia. Bagi sesetengah individu, suara juga adalah sumber rezeki. Apabila suara terjejas, bukan sahaja komunikasi terganggu, malah kualiti hidup juga boleh merosot,” katanya. 

Beliau menjelaskan, penggunaan suara secara berlebihan tanpa teknik yang betul merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kerosakan suara. 

Selain itu, faktor gaya hidup seperti merokok, pengambilan alkohol, kurang minum air, masalah alahan hidung serta refluks asid juga boleh memberi kesan kepada kesihatan pita suara. 

“Malah, tekanan emosi, pemakanan dan tidur yang tidak teratur juga boleh menyebabkan ketegangan pada otot suara dan menjejaskan fungsi suara,” jelas beliau dalam AWANI Pagi baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Marina berkata masyarakat perlu lebih peka terhadap tanda awal masalah suara yang sering diabaikan, seperti suara serak berpanjangan, perubahan nada suara dan rasa tidak selesa ketika bercakap. 

“Jika keadaan ini berlarutan lebih dua minggu, ia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan dan perlu diperiksa,” katanya. 

Bagi menjaga kesihatan suara, beliau menyarankan orang ramai supaya memastikan pengambilan air mencukupi, mengelakkan menjerit atau bercakap terlalu kuat, serta memberi rehat kepada suara. 

Selain itu, amalan seperti mengelakkan merokok, mengurangkan pengambilan kafein secara berlebihan dan mengamalkan teknik pernafasan yang betul juga penting untuk mengelakkan kerosakan jangka panjang pada pita suara. 

“Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi serius. Jika masalah suara berlarutan lebih dua hingga tiga minggu atau disertai simptom seperti sakit ketika menelan, batuk berpanjangan atau perubahan suara yang ketara, segera dapatkan pemeriksaan pakar ENT,” ujarnya. 

Tambah beliau, pemeriksaan awal amat penting bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius selain membantu rawatan dilakukan dengan lebih berkesan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi UKM Specialist Centre, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, UKM Specialist Centre (UKMSC) merupakan pusat perubatan pakar swasta yang ditubuhkan pada tahun 2001 dan merupakan anak syarikat milik penuh UKM Holdings Sdn. Bhd., di bawah Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Menurut beliau, UKMSC beroperasi di dalam kampus Pusat Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Kuala Lumpur dengan menawarkan gabungan kepakaran akademik universiti serta perkhidmatan kesihatan swasta yang lebih fleksibel dan selesa. 

“Ketika ini, UKMSC mempunyai lebih 140 pakar yang merangkumi pelbagai subkepakaran perubatan, bukan sahaja dalam bidang ENT tetapi juga pelbagai rawatan kepakaran lain bagi memenuhi keperluan pesakit,” katanya. 

 

 

Must Watch Video