KUALA LUMPUR: Kepulan asap besar kelihatan berhampiran lapangan terbang Riyadh pada Sabtu selepas bunyi letupan kedengaran dan Arab Saudi mengeluarkan amaran semalaman mengenai kemungkinan berlaku bahaya di sekitar ibu negara, ketika peningkatan serangan kumpulan Houthi Yaman, menurut Reuters.
Video dan gambar Reuters menunjukkan asap hitam menjulang di kawasan itu, selain turut kelihatan lebuh raya, lapangan terbang, bangunan terminal utama dan kemudahan lain.
Pada satu detik dalam video itu, api kelihatan menyala dari belakang sesuatu yang kelihatan seperti tangki bahan api.
Pejabat media kerajaan Saudi belum memberikan sebarang ulasan sebagai jawapan kepada soalan Reuters mengenai asap dan amaran semalaman.
Pertahanan awam Arab Saudi menghantar amaran menerusi telefon semalaman mengenai kemungkinan berlaku bahaya serangan udara di Riyadh dan bandar Al-Kharj, timur ibu negara, sebelum menghantar mesej tiada lagi ancaman atau all clear pada pagi Sabtu.
Seorang wartawan Reuters di kawasan Olaya Riyadh mendengar bunyi letupan sebelum mesej all clear dihantar.
Walaupun beberapa amaran telah dikeluarkan di Riyadh tahun ini selepas tercetusnya perang Amerika Syarikat (AS)-Iran, ini adalah yang pertama selepas permusuhan dengan Houthi pada Julai.
Houthi, yang menguasai bahagian paling ramai penduduk di Yaman dan sebahagian besar utara, telah melancarkan serangan terhadap Arab Saudi sejak mengisytiharkan sekatan tentera laut ke atas Riyadh pada Julai, dengan serangan menyasarkan kapal Saudi di Laut Merah.
Serangan itu menyasarkan bandar Saudi, infrastruktur tenaga dan perkapalan, mewujudkan ancaman baharu kepada bekalan minyak global dan meletakkan risiko laluan Laut Merah sebagai alternatif utama untuk eksport Teluk ketika lalu lintas di Selat Hormuz terus disekat.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam satu kenyataan pada Jumaat "mengutuk sekeras-kerasnya serangan Houthi terhadap Kerajaan Arab Saudi, termasuk serangan yang menjejaskan infrastruktur awam dan tenaga, yang telah mengakibatkan kecederaan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak."
-- REUTERS