Ringkasan AI
- Daiso Malaysia Group melabur RM1.2 bilion untuk membuka Pusat Pengedaran Global baharu di Pulau Indah, memperkukuh Malaysia sebagai hab logistik serantau.
- Pusat seluas 133,000 meter persegi ini merupakan kemudahan terbesar Daiso di dunia, dilengkapi Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS).
- Pelaburan ini dijangka mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan penglibatan syarikat tempatan dan memperluas pasaran produk Malaysia melalui rangkaian Daiso global.
PELABUHAN KLANG: Pelaburan RM1.2 bilion oleh Daiso Malaysia Group Sdn Bhd (Daiso) menerusi pembukaan Pusat Pengedaran Global (GDC) baharunya di Pulau Indah, di sini dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab logistik serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan Malaysia sebagai lokasi pusat pengedaran global terbesar Daiso di dunia membuktikan keyakinan syarikat itu terhadap kestabilan ekonomi, kematangan infrastruktur serta potensi jangka panjang negara.
“Apabila sebuah syarikat seperti Daiso memilih Pulau Indah untuk pusat pengedaran global terbesarnya di seluruh dunia, ia merupakan satu pengiktirafan jelas terhadap kestabilan ekonomi Malaysia, kematangan infrastruktur serta potensi jangka panjang negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan tidak hanya menilai pelaburan berdasarkan jumlah modal yang dibawa masuk, sebaliknya turut menitikberatkan peluang pekerjaan bergaji lebih baik, pembangunan keupayaan tempatan dan penglibatan pembekal Malaysia dalam rantaian bekalan global.
“Kita juga melihat sama ada pelaburan itu mampu mewujudkan pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih baik, membangunkan keupayaan tempatan serta menyokong pembangunan mampan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pusat pengedaran itu, pada Khamis.
Mengulas mengenai sektor logistik negara, Anwar berkata Pelabuhan Klang mengendalikan rekod 15.1 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) tahun lalu, sekali gus meletakkannya antara 10 pelabuhan kontena tersibuk di dunia.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan nilai tambah perdagangan dan bukan hanya jumlah kargo yang melalui pelabuhan negara.
“Langkah seterusnya adalah untuk kita memperoleh lebih banyak nilai daripada aliran perdagangan yang melalui pelabuhan kita, bukan hanya menumpukan kepada jumlah kargo semata-mata,” katanya.
Menurut beliau, pusat pengedaran itu membolehkan barangan diasingkan, disimpan dan dibungkus semula mengikut pasaran antarabangsa di Pulau Indah, sekali gus mewujudkan aktiviti ekonomi dan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Bagi menyokong aspirasi menjadikan Malaysia hab logistik bertaraf dunia, kerajaan turut memperkukuh infrastruktur pengangkutan menerusi pembangunan Westports 2, perancangan pelabuhan mega di Pulau Carey serta projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan rangkaian pengangkutan kargo rel.
Beliau turut berkata, penglibatan syarikat tempatan termasuk PKT Logistics Group dan pengusaha pengangkutan domestik dalam operasi pusat berkenaan dapat menggalakkan pemindahan teknologi serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi kepada golongan muda. Dalam jangka panjang, beliau berharap lebih banyak produk buatan Malaysia dapat dipasarkan menerusi rangkaian Daiso di seluruh dunia.
Pusat pengedaran seluas 133,000 meter persegi itu merupakan kemudahan terbesar pernah dibina Daiso di seluruh dunia. Ia dilengkapi Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) hasil kerjasama Murata Machinery Ltd dari Jepun, dengan keupayaan mengurus lebih 76,000 unit penyimpanan stok (SKU). Pusat itu juga siap lebih awal daripada jadual dan di bawah bajet yang diperuntukkan.
Kemudahan itu akan menjadi hab logistik utama Daiso yang menghubungkan operasi pengeluaran dari Jepun, China dan pembekal global untuk pengedaran ke 27 negara di Asia dan Asia Barat Majlis turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Daiso Malaysia Group Sdn Bhd dan PKT Logistics (M) Sdn Bhd bagi memperkukuh pengurusan pergudangan serta penghantaran kargo serantau.
Turut hadir bersama ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook,Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Daiso Industries Co. Ltd, Seiji Yano serta Pengerusi Daiso Malaysia Group Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.