KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) menyuarakan kebimbangan dengan permasalahan pekerja Media Mulia Sdn Bhd susulan pengumuman pelaksanaan penstrukturan dan rasionalisasi yang melibatkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agungnya, Lydia Nathan berkata, menurut laporan hampir 100 pekerja telah diletakkan di bawah Program Cuti Berbayar.
NUJ mengakui organisasi media kini berdepan tekanan kewangan dan cabaran, khususnya apabila khalayak dan pengiklanan beralih ke platform digital, dan syarikat mungkin perlu mengkaji semula model perniagaan dan operasi masing-masing bagi memastikan kelangsungan perniagaan.
"Namun, kebajikan, jaminan pekerjaan dan maruah pekerja media tidak boleh dianggap remeh.
"Pekerja yang terjejas berhak mendapat maklumat yang jelas dan terkini mengenai tujuan penstrukturan, kriteria yang diguna pakai untuk menentukan pekerja yang terlibat, tempoh dan syarat program itu, serta implikasinya terhadap status pekerjaan, pendapatan dan masa depan mereka," katanya.
Lydia berkata, NUJ menggesa pihak pengurusan Media Mulia supaya mengadakan rundingan secara terus dengan pekerja yang terjejas serta wakil mereka.
Beliau berkata, sebarang komitmen untuk melindungi kebajikan dan hak pekerja perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit, termasuk komunikasi yang telus, rundingan yang adil serta pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang pekerjaan dan obligasi kontrak.
"NUJ turut menggesa semua pihak berkepentingan supaya mengutamakan penyelesaian yang melindungi sumber pendapatan wartawan dan pekerja media.
"Kemampanan industri media perlu dibina berasaskan pekerjaan yang mampan. Keputusan perniagaan yang sukar mungkin tidak dapat dielakkan dalam keadaan tertentu, namun ia tidak seharusnya meminggirkan ketelusan, keadilan dan rundingan yang menjadi kekuatan operasi bilik berita," katanya.
Menurut NUJ, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Media Mulia, pekerja yang terjejas, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan lain bagi mencari penyelesaian yang adil, telus dan mengambil kira kebajikan petugas.
Pada 2 Nov lepas, Pengarah merangkap Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia Sdn Bhd, Abd Wahid Idris berkata, syarikat itu sedang melaksanakan penilaian strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju syarikat melibatkan pelaksanaan Program Cuti Berbayar ke atas hampir 100 pekerjanya.
Beliau berkata, langkah rasionalisasi itu diambil bagi memastikan kelangsungan serta kemampanan perniagaan susulan perubahan landskap industri media yang kini memberi tumpuan kepada platform digital.
-- BERNAMA