Menteri Perdagangan dan Pelaburan Arab Saudi, Majid al-Qasabi, yang sedang dalam lawatan ke Iraq, pada Rabu mengumumkan bahawa negaranya akan membuka satu konsulat baharu di Baghdad pada Khamis.

Dalam satu sidang akhbar bersama dengan Menteri Minyak Iraq Thamir al-Ghadhban, al-Qasabi memaklumkan pemberita bahawa "esok satu konsulat Arab Saudi akan dibuka di Baghdad, dan tiga konsulat lain akan dibuka di Iraq."

Terdahulu, al-Qasabi, yang mengetuai delegasi 115 anggota Arab Saudi, termasuk tujuh menteri dan berpuluh-puluh ahli perniagaan, tiba di Baghdad dalam lawatan dua hari bagi mengadakan sesi kedua Majlis Penyelarasan Iraq-Arab Saudi.

"Delegasi besar mengesahkan keseriusan dan minat dalam membina jambatan komunikasi dan mempromosi pelaburan antara kedua-dua negara," kata al-Qasabi.

Beliau turut mendedahkan bahawa Arab Saudi telah memperuntuk sejumlah US$1 bilion bagi pelaksanaan projek-projek Arab Saudi di Iraq.

Al-Ghadhban berkata kedua-dua pihak akan bertemu esok untuk meneliti hasil perbincangan sebelum ini dan membincangkan tugas jawatankuasa bersama, selain menghidupkan semula hubungan perdagangan dua hala.

Delegasi Arab Saudi dan pihak Iraq dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang dan delegasi Arab Saudi akan turut bertemu Presiden Iraq Barham Salih, Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi dan Speaker Mohammed al-Halbousi.

Sesi pertama Majlis Penyelarasan Iraq-Arab Saudi berlangsung di Riyadh pada Oktober 2017 di bawah tajaan Raja Arab Saudi Salman bin Abdulaziz.

-- BERNAMA