DUA negara di Asia Barat iaitu Arab Saudi dan Iraq mengumumkan kes COVID-19 yang pertama, pada Isnin.

Pengesahan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi itu dilaporkan agensi berita ArabNews.com.

Menurut kenyataan itu, warga Arab Saudi itu dilaporkan tiba dari Iran melalui Bahrain.

"Pesakit pertama Arab Saudi itu juga tidak mendedahkan lokasi sebenar dia berada ketika diperiksa di pintu masuk sempadan," kata kenyataan itu lagi.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan individu berkenaan telah diletakkan di wad berasingan di hospital dan usaha sedang dibuat untuk mengesan kontak rapat dengan pesakit pertama itu.

Arab Saudi sebelum ini, bebas daripada jangkitan COVID-19 lebih daripada tiga bulan ketika wabak itu telah merebak ke lebih 66 negara, termasuk beberapa negara di Asia Barat.

Kesemua kes jangkitan virus yang direkodkan di beberapa negara di Asia Barat mempunyai sejarah perjalanan ke Iran.

Minggu lalu, Kerajaan Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah dari seluruh dunia untuk mengerjakan umrah dan menziarah Masjdi Nabawi.





BACA: Lebih 100 jemaah umrah Malaysia, Indonesia terkandas di KLIA

BACA: COVID-19: Kerajaan Arab Saudi gantung sementara visa umrah

Sementara itu, Iraq mengumumkan kes COVID-19 yang pertama di negara itu pada Isnin.

Kes itu melibatkan seorang pelajar warga Iran berusia 22 tahun di Bandar Najaf.

Kementerian Kesihatan Iraq dalam satu kenyataan berkata, pelajar jurusan agama itu memasuki Iraq sebelum negara itu menguatkuasakan larangan kemasukan warga Iran, minggu lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, kes berkenaan dikesan selepas pasukan kesihatan membuat tinjauan ke atas jemaah dan pelajar di rumah mereka.

Bandar Najaf, yang terletak kira-kira 170 kilometer dari ibu negara Baghdad merupakan kediaman kepada para ulama Syiah di Iraq.

Ratusan ribu jemaah dari Iran mengunjungi bandar itu setiap tahun.