Pihak berkuasa Arab Saudi dilaporkan telah menangkap cendekiawan Islam yang dikaitkan dengan Pergerakan Sahwa (Gerakan Kesedaran), Sheikh Safar Al-Hawali, bersama dengan beberapa anaknya beberapa hari lalu.

Menurut sumber tidak rasmi, tangkapan itu dibuat kerana beliau mengkritik dasar keluarga pemerintah di negara ini.

Satu akaun Twitter yang dinamakan 'Moatqali Al-Ray' memuat naik tweet mendakwa penangkapan Sheikh Al-Hawali, 68 tahun, dibuat beberapa hari selepas beliau menerbitkan buku berjudul Muslim dan Peradaban Barat.

Di dalam buku itu beliau dikatakan mengkritik keluarga diraja Arab Saudi dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohammed Zayed.

Moatqali Al-Ray turut mendakwa bahawa pasukan keselamatan menyerbu rumah Al-Hawali, menutup mata dan mengikat tangannya.

Anak lelakinya Ibrahim turut ditahan, selain merampas telefon bimbit dan peranti elektronik.

Buku baru diterbitkan Al-Hawali adalah penerbitan setebal 3,000 halaman di mana beliau menulis bahawa keluarga diraja telah membazirkan dana pada projek-projek palsu.

"Sheikh Al-Hawali mengkritik putera mahkota Mohammad Salman dan hubungannya dengan Israel, menyebutnya sebagai pengkhianatan," kata Moatqali Al-Ray.

Menurut media Arab, Al-Hawali memegang ijazah kedoktoran dalam agama dan kepercayaan.

Beliau dianggap sebagai ulama terpenting Pergerakan Sahwa pada 1980-an dan 1990-an, yang merupakan gerakan keagamaan terbesar di Arab Saudi.

Al-Hawali juga merupakan salah satu penentang kuat Amerika Syarikat (AS) dan Israel di rantau ini.

Pihak berkuasa memenjarakannya pada pertengahan 1990-an bersama sejumlah besar penyokong Pergerakan Sahwa kerana menentang kemasukan tentera AS ke Arab Saudi.

Sejak September tahun lalu, pihak berkuasa Arab Saudi telah melancarkan kempen penangkapan anti-Sahwa yang merangkumi ulama Islam Salman Al-Ouda, Awad Al-Qarni dan lain-lain. - Agensi