RIYADH: Arab Saudi menutup sebuah saluran paip minyak utama sebagai langkah berjaga-jaga selepas ia diserang dron yang dilancarkan dari wilayah Iraq, ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak.
Kementerian Luar Arab Saudi memaklumkan serangan ke atas saluran paip Timur-Barat sepanjang 1,200 kilometer itu mengakibatkan beberapa kecederaan serta kerosakan yang masih dalam proses penilaian.
Saluran paip berkenaan memainkan peranan penting dalam membolehkan eksport minyak Arab Saudi mengelakkan laluan Selat Hormuz dan mengendalikan kira-kira empat hingga lima peratus bekalan minyak global.
Kerajaan Iraq mengakui serangan itu dilancarkan dari wilayah Maysan yang bersempadan dengan Iran dan telah memecat komander operasi ketenteraan wilayah berkenaan selain memulakan siasatan terhadap insiden tersebut.
Arab Saudi bagaimanapun memutuskan untuk tidak bertindak balas buat masa ini selepas menerima panggilan daripada Perdana Menteri Iraq.
Riyadh berkata ia akan menyokong usaha kerajaan Iraq untuk menghalang serangan terhadap negara jiran daripada dilancarkan dari wilayahnya.
Pada masa sama, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengutuk serangan itu dan menyifatkannya sebagai ancaman serius terhadap keselamatan serta integriti wilayah Arab Saudi.
Perkembangan itu berlaku ketika konflik serantau semakin meruncing susulan kemaraan kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman.
Kumpulan itu dilaporkan menguasai sebahagian besar pesisir pantai Laut Merah, termasuk kawasan berhampiran Selat Bab al-Mandab, antara laluan perkapalan terpenting dunia.
Pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi pula melancarkan serangan balas di sekitar bandar pesisir Mokha bagi mengekang kemaraan Houthi.
Ketidaktentuan keselamatan di kedua-dua laluan tenaga utama, Selat Hormuz dan Bab al-Mandab, terus menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan minyak global.
Harga minyak mentah kini meningkat melepasi AS$100 setong buat kali pertama sejak Julai, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai inflasi dan kos pengangkutan di seluruh dunia.
Penganalisis industri memberi amaran harga minyak boleh terus meningkat sekiranya konflik di rantau itu berlarutan, selain memberi tekanan kepada rantaian bekalan serta perdagangan global.