Skip to main content

Malaysia

Nikah sindiket di selatan Thailand berisiko cetus implikasi syarak, undang-undang

Perkahwinan yang tidak memenuhi kehendak syarak boleh menimbulkan persoalan tentang kesahan akad nikah, sekali gus membawa implikasi kepada pasangan terbabit. - Gambar hiasan
Perkahwinan yang tidak memenuhi kehendak syarak boleh menimbulkan persoalan tentang kesahan akad nikah, sekali gus membawa implikasi kepada pasangan terbabit. - Gambar hiasan

Advertisement

Advertisement

KOTA BHARU: Pasangan rakyat Malaysia yang menggunakan khidmat sindiket untuk bernikah di selatan Thailand berisiko berdepan implikasi dari sudut syarak dan undang-undang sekiranya akad nikah mereka tidak dikendalikan oleh kadi bertauliah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata pasangan yang merancang untuk berkahwin di luar negara perlu memastikan individu bertauliah mengendalikan akad nikah mereka bagi mengelakkan masalah ketika mendaftarkan perkahwinan di Malaysia.

Beliau berkata perkara itu penting kerana mahkamah akan meneliti status kadi yang mengendalikan pernikahan berkenaan ketika proses pengesahan dan pendaftaran perkahwinan, selain mengambil kira kesahannya mengikut syarak.

Advertisement

"Saya bercakap berasaskan lunas undang-undang. Di Malaysia, terdapat senarai kadi bertauliah. Jadi, sesiapa yang ingin bernikah di luar negara, pastikan kadi yang mengendalikan perkahwinan itu bertauliah.

"Nasihat saya kepada semua yang ingin atau merancang untuk berkahwin, lakukanlah dengan jujur dan mengikut undang-undang. Jangan hanya memikirkan perkahwinan pada masa sekarang, sebaliknya fikirkan juga nasab anak yang bakal dilahirkan hasil perkahwinan itu," katanya kepada pemberita selepas Program Lawatan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Kampung Kedai Buluh, di sini hari ini.

Advertisement

Marhamah berkata perkahwinan yang tidak memenuhi kehendak syarak boleh menimbulkan persoalan tentang kesahan akad nikah, sekali gus membawa implikasi kepada pasangan terbabit.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan umat Islam supaya tidak menyertai sebarang program atau acara yang dikhuatiri boleh menjejaskan akidah dan tauhid, termasuk sambutan Halloween yang semakin menjadi trend, khususnya dalam kalangan golongan muda meskipun untuk tujuan berhibur.

Beliau berkata pengaruh budaya asing yang tular di media sosial menyebabkan umat Islam cenderung mengikut sesuatu trend tanpa mengambil kira kesesuaiannya dengan tuntutan agama.

"Teguran saya bukan sahaja kepada golongan muda, tetapi juga semua lapisan umat Islam. Sebelum melakukan sesuatu, pastikan perkara itu berada dalam kerangka syarak. Hal ini penting kerana kita perlu mempertahankan akidah dan tauhid.

"Budaya atau pesta pada masa ini sukar dibendung. Apabila ada pihak menganjurkannya dan perkara itu tular, semua orang mahu menyertainya. Jadi, marilah kita sama-sama menjaga diri kerana apa yang kita lakukan sekarang akan membentuk generasi akan datang," katanya.

Marhamah berkata ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mengenai perkara yang dibenarkan dan dilarang dalam Islam, memandangkan pembentukan kefahaman itu bermula dari rumah.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement