Ringkasan AI
- Tujuh pemain warisan yang digantung FIFA selama 12 bulan kini dibenarkan kembali beraksi dalam semua aktiviti bola sepak bermula hari ini.
- MFL mengesahkan penggantungan terhadap Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel telah berakhir.
- Kes penggantungan bermula selepas FIFA mendapati dokumen palsu digunakan untuk menyokong kelayakan tujuh pemain kelahiran luar negara mewakili Malaysia.
KUALA LUMPUR: Tujuh pemain warisan yang sebelum ini dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dibenarkan beraksi semula dalam semua aktiviti bola sepak bermula hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi satu pekeliling bertarikh 30 Okt, yang mengesahkan hukuman penggantungan terhadap pemain terlibat berakhir semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Mohd Shazli Shaik Mohd mengesahkan kandungan pekeliling yang ditandatanganinya, yang turut tersebar di media sosial adalah benar.
“Betul, sahih,” katanya ketika dihubungi.
Menurut pekeliling itu, ketujuh-tujuh pemain terlibat ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Daripada tujuh pemain itu, empat daripadanya, iaitu Figueiredo, Palmero, Irazabal dan Hevel beraksi untuk Johor Darul Ta’zim manakala Holgado pula hampir menyertai DPMM FC seperti disahkan kelab dari Brunei itu sebelum ini.
Isu melibatkan tujuh pemain itu terbongkar pada September tahun lepas, setelah FIFA mendapati dokumen palsu digunakan bagi menyokong kelayakan tujuh pemain kelahiran luar negara untuk mewakili Malaysia dalam perlawanan antarabangsa.
Pada Mac lepas, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain terbabit berkaitan hukuman dikenakan oleh FIFA berhubung pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan.
Dalam keputusan operasi yang dikeluarkan tanpa alasan terperinci, CAS memutuskan tujuh pemain berkenaan masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan.
Bagaimanapun, larangan itu hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
-- BERNAMA