DUNIA
Arab Saudi umum penubuhan pakatan kecemasan untuk biayai Pihak Berkuasa Palestin

Putera Faisal bin Farhan berkata pakatan itu akan menyediakan sokongan kewangan langsung kepada PA "bersama beberapa rakan penting." - Reuters
ISTANBUL: Arab Saudi mengumumkan pada Khamis penubuhan satu pakatan kecemasan antarabangsa bagi membiayai Pihak Berkuasa Palestin (PA), yang mentadbir sebahagian wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pada sidang media di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-80, Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan berkata pakatan itu akan menyediakan sokongan kewangan langsung kepada PA "bersama beberapa rakan penting."
Beliau berkata Arab Saudi akan menyumbang sebanyak AS$90 juta kepada usaha itu.
Sidang media itu diadakan sempena mesyuarat Pakatan Global bagi Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara, yang turut dihadiri menteri luar dari negara Arab dan Eropah seperti Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Norway.Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty berkata, keterbukaan terhadap penempatan pasukan antarabangsa di Gaza di bawah resolusi Majlis Keselamatan PBB dengan tujuan membantu PA mentadbir wilayah itu.
Beliau berkata terdapat "konsensus" mengenai penubuhan pentadbiran sementara Palestin di wilayah itu tanpa penyertaan mana-mana puak, namun Abdelatty tidak memberikan butiran lanjut.
Menteri Luar Jordan Ayman Safadi berkata, pakatan itu mengesahkan adanya konsensus antarabangsa dan pelaksanaan penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan ke arah keamanan yang adil dan menyeluruh.
Beliau berkata pakatan itu menganggap satu-satunya halangan kepada pelaksanaan penyelesaian dua negara ialah "pendirian ekstrem Kerajaan Israel dan Perdana Menterinya (Benjamin Netanyahu) secara terbuka menyatakan yang dia tidak akan membenarkan penubuhan sebuah negara Palestin."
Beliau turut menegaskan bahawa "semua tindakan Perdana Menteri Israel menghalang pencapaian keamanan yang adil dan menyeluruh, termasuk genosid di Gaza, perluasan penempatan dan rampasan tanah di Tebing Barat, pencerobohan ke atas Syria serta menyemai benih perpecahan di sana dan juga serangan ke atas Lubnan."
Pada September 2024, Arab Saudi mengumumkan penubuhan pakatan antarabangsa itu dan mesyuarat pertamanya diadakan di Riyadh pada akhir Oktober.
Terdahulu, pada Khamis Presiden Palestin Mahmoud Abbas dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB menyeru agar PA diberi kuasa penuh untuk mentadbir Gaza, sambil mengesahkan kesediaannya untuk mengambil alih tanggungjawab keselamatan dan pentadbiran serta melucutkan senjata puak bertelagah.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dalam pertemuannya bersama pemimpin Arab dan Islam di New York minggu ini membentangkan satu pelan 21 perkara yang bertujuan untuk menamatkan serangan Israel di Gaza.
Utusan Khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff mengesahkan bahawa pelan yang dikemukakan oleh Trump mengandungi 21 perkara, namun beliau tidak mendedahkan butirannya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami