Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Trump umum lanjutan gencatan senjata dengan Iran, sekatan tetap diteruskan

U.S. President Donald Trump looks on as he speaks to members of the media aboard Air Force One en route to Joint Base Andrews, Maryland, U.S., March 29, 2026. REUTERS/Elizabeth Frantz
Trump berkata tentera AS diarahkan untuk meneruskan sekatan laut terhadap Iran dan kekal bersedia sepenuhnya. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan lanjutan gencatan senjata dengan Iran, sambil menyatakan tentera AS akan menangguhkan serangan yang dirancang bagi memberi masa kepada Tehran mengemukakan cadangan untuk menamatkan perang.

Trump berkata keputusan itu dibuat pada Selasa atas permintaan pihak perantara dari Pakistan, beberapa jam sebelum gencatan senjata yang sedia ada dijadual tamat pada Rabu.

Advertisement

Dalam satu hantaran di media sosial, beliau berkata tentera AS diarahkan untuk meneruskan sekatan laut terhadap Iran dan kekal bersedia sepenuhnya.

“Saya telah mengarahkan tentera kami untuk meneruskan sekatan dan pada masa sama kekal bersedia sepenuhnya, serta melanjutkan gencatan senjata sehingga cadangan dikemukakan dan perbincangan diselesaikan,” kata Trump.

Iran tidak memberikan reaksi segera terhadap kenyataan itu.

Agensi berita separa rasmi Tasnim melaporkan pendirian Tehran akan diumumkan secara rasmi kemudian.

Kenyataan Trump itu merupakan perubahan ketara daripada pendiriannya beberapa jam sebelumnya, apabila beliau berkata tidak menyokong lanjutan gencatan senjata dan memberi amaran bahawa masa semakin suntuk untuk Iran.

Perkembangan tersebut berlaku ketika pegawai Iran mengutuk sekatan laut AS terhadap pelabuhan negara itu, yang mencetuskan keraguan mengenai penyertaan Tehran dalam rundingan yang dijadual berlangsung di Pakistan pada Rabu.

Dengan sekatan laut masih berterusan, masih belum jelas sama ada lanjutan gencatan senjata itu mencukupi untuk membawa Iran ke meja rundingan di Islamabad.

Sebelum ini, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menyifatkan sekatan ke atas pelabuhan Iran sebagai “tindakan perang” dan pelanggaran gencatan senjata.

Dalam hantaran di platform X, beliau berkata Iran mengetahui cara mempertahankan kepentingannya dan menentang sebarang tekanan.

 

 

Walaupun pendirian rasmi Iran setakat ini tegas menolak ancaman dan sekatan tentera AS, Trump mendakwa perbezaan dalaman dalam kepimpinan Tehran menjadi faktor yang melambatkan usaha diplomatik.

Beliau berkata lanjutan gencatan senjata itu bertujuan memberi masa kepada kepimpinan Iran mencapai kesepakatan bagi mengemukakan cadangan yang bersatu.
 

 

Must Watch Video