Skip to main content

Dunia

Argentina siasat punca wabak hantavirus di kapal persiaran

A person in protective clothing walks next to an ambulance during an evacuation operation of suspected hantavirus patients, following an outbreak on the cruise ship MV Hondius, in Praia, Cape Verde, May 6, 2026. REUTERS/Danilson Sequeira
Seorang individu berpakaian perlindungan berjalan di sebelah ambulans semasa operasi pemindahan pesakit disyaki dijangkiti hantavirus susulan wabak di kapal persiaran MV Hondius di Praia, Cape Verde. - Foto REUTERS

BUENOS AIRES: Pihak berkuasa kesihatan Argentina sedang menyiasat kemungkinan negara itu menjadi punca wabak hantavirus yang meragut beberapa nyawa di atas sebuah kapal persiaran di Lautan Atlantik.

Kementerian Kesihatan Argentina memaklumkan pakar akan dihantar ke wilayah selatan Ushuaia untuk menangkap serta menguji tikus, yang merupakan pembawa utama virus, di kawasan yang dikaitkan dengan laluan pasangan warga Belanda yang maut akibat jangkitan tersebut.

Setakat ini, tiga kematian dilaporkan melibatkan pasangan Belanda dan seorang warga Jerman.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula mengesahkan lapan kes berkaitan wabak itu, termasuk tiga kes disahkan.

Kapal persiaran terbabit yang sebelum ini berlabuh di Cape Verde telah berlepas menuju Sepanyol selepas tiga penumpang dipindahkan untuk rawatan, dua daripadanya dalam keadaan serius.

Pakar kesihatan menegaskan risiko jangkitan kepada orang awam masih rendah kerana penularan hantavirus memerlukan kontak fizikal yang sangat rapat, berbeza dengan penyakit seperti COVID-19 atau influenza.

Virus jenis Andes yang ditemui di Amerika Selatan boleh menyebabkan sindrom pulmonari hantavirus, iaitu penyakit paru-paru yang serius dan berpotensi membawa maut.

Pihak Argentina turut menyalurkan sampel virus serta garis panduan rawatan kepada beberapa negara termasuk Sepanyol, Belanda dan United Kingdom bagi membantu usaha pengesanan dan pencegahan.

Menurut pakar, perubahan iklim dipercayai menyumbang kepada peningkatan kes hantavirus, apabila habitat tikus pembawa virus semakin meluas.

Argentina merekodkan 101 kes jangkitan sejak Jun 2025, hampir dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Must Watch Video