GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkritik pertelingkahan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat dan China berhubung siasatan berterusan dalam mencari asal-usul COVID-19.

Pengarah Program Kecemasan WHO, Dr. Michael Ryan berkata, keseluruhan proses siasatan bertukar dan kini berkepentingan politik.

"Kami mahu, sekiranya boleh, pisahkan politik dengan sains. Keseluruhan proses ini diracuni oleh politik.

"Para saintis hanya boleh berkolaborasi dan mendapatkan jawapan dalam persekitaran yang tidak menyalahkan sesiapa dalam mencari asal-usul virus supaya kita semua dapat belajar bagaimana mencegah perkara ini terjadi di masa hadapan.

"Kami meminta agar perkara ini dilakukan tanpa campur tangan politik di mana sains dan kesihatan adalah objektif dan bukannya menyalahkan dan berpolitik," tegasnya.

Bercakap di Geneva, Dr. Ryan menyatakan siasatan itu dijangka memerlukan banyak kajian dan usaha untuk menentukan asal-usul koronavirus.

Jelasnya perkara itu kemungkinan besar sukar dilakukan disebakan kerumitan tugas berkenaan.

Tambah Dr. Ryan, arahan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden supaya agensi risikannya memperbaharui usaha menyiasat asal-usul COVID-19, sebahagian besarnya tanpa mempunyai bukti yang kukuh.

Katanya semua hipotesis mengenai bagaimana pandemik itu bermula hanya dilakukan di atas meja dan tiada tindakan lanjut.

Dalam laporan dikeluarkan pada Mac, sebuah pasukan antarabangsa diketuai WHO menyimpulkan bahawa kemungkinan besar virus itu tersebar kepada manusia dari kelawar melalui haiwan perantara.

WHO turut menyatakan, kemungkinan wabak itu bermula akibat kebocoran makmal di Wuhan sebagai 'sangat tidak mungkin'.