Skip to main content

Dunia

ASEAN 2026: Filipina usul perkasa kedudukan Timor-Leste, kuatkan maritim serantau

CEBU (Philippines), May 6 - - The Philippines assumes the ASEAN Chairmanship from Malaysia on Jan 1, 2026, under the theme “Navigating Our Future, Together,” guiding ASEAN’s priorities through three pillars: Peace and Security Anchors, Prosperity Corridors and People Empowerment.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Pemimpin ASEAN pada sidang kali ini turut memberi tumpuan kepada tiga isu utama iaitu keselamatan tenaga, keselamatan makanan dan keselamatan rakyat ASEAN. - Foto Bernama

CEBU, FILIPINA: Filipina akan membentangkan tiga dokumen utama untuk pertimbangan pemimpin ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 yang berlangsung di Cebu selama dua hari bermula Khamis ini.

Jurucakap ASEAN Filipina, Dominic Xavier Imperial berkata, kesemua usul itu akan dikemuka di bawah tonggak Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC).

Advertisement

Menurut beliau, antara dokumen utama ialah Protokol Cebu bagi Pindaan Piagam ASEAN yang bakal menjadi pindaan pertama terhadap Piagam ASEAN sejak ia ditandatangani pada 2007.

“Pindaan itu mencerminkan usaha berterusan ASEAN memperkukuh institusi serantau, khususnya dalam menyokong integrasi penuh Timor-Leste ke dalam blok berkenaan,” katanya dalam taklimat pembuka tirai kepada delegasi media, di sini, pada Rabu.

ASEAN turut dijangka mengiktiraf Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Kerjasama Maritim yang menekankan komitmen rantau itu dalam memperkukuh kerjasama maritim menerusi pelbagai inisiatif baharu.

Ini termasuk cadangan menjadikan Forum Pengawal Pantai ASEAN sebagai badan sektoral ASEAN serta penubuhan Pusat Maritim ASEAN di Filipina.

Selain itu, ASEAN juga akan meneliti Kenyataan Pemimpin ASEAN mengenai Respons terhadap Krisis Asia Barat.

Imperial berkata, usaha ini susulan dua Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN yang dianjurkan Filipina pada Mac dan April lalu berhubung konflik berterusan di Asia Barat.

Menurut beliau, dokumen itu menggariskan maklum balas kolektif ASEAN terhadap krisis berkenaan selain menjadi asas kepada penyelarasan lebih kukuh menghadapi situasi luar jangka.

Beliau berkata, pemimpin ASEAN pada sidang kali ini turut memberi tumpuan kepada tiga isu utama iaitu keselamatan tenaga, makanan dan rakyat ASEAN.

Dalam masa sama katanya, Filipina sebagai Pengerusi ASEAN 2026 akan terus memacu beberapa agenda utama termasuk persiapan sambutan ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), integrasi Timor-Leste serta perkembangan terkini di Myanmar.

“Dalam situasi ketidaktentuan geopolitik dan cabaran serantau yang semakin berkembang, Filipina menegaskan kepentingan memperkukuh autonomi strategik rantau ini berpandukan Kepusatan ASEAN.

“Kita juga perlu meningkatkan koordinasi sebagai komuniti negara ASEAN serta menegaskan komitmen terhadap prinsip undang-undang antarabangsa,” katanya.

Must Watch Video