MEKAH: Seorang jemaah haji lelaki Malaysia bagi Musim Haji 1447H/2026M meninggal dunia pada Isnin akibat serangan jantung.
Menurut Lembaga Tabung Haji (TH), Allahyarham yang berusia 70 tahun berasal dari Senggarang, Johor, dan menunaikan ibadah haji bersama isterinya.
Dalam kenyataan pada Rabu, TH memaklumkan jemaah berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Ajiyad pada jam 6.16 petang (waktu tempatan).
"Allahyarham merupakan jemaah dari kumpulan KT34 yang dibawa oleh Syarikat Pengelola Jemaah Haji dan menginap di Hotel Elaf Al Bait, Mekah," jelas kenyataan berkenaan.
Jenazah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas solat subuh sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea, Mekah.
TH turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.
Ini merupakan kematian kedua membabitkan jemaah haji Malaysia sejak kematian pertama yang dilaporkan pada Jumaat (1 Mei) lalu.