Ringkasan AI
- Malaysia menggesa semakan awal Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun untuk mengurangkan halangan perdagangan dan memperkasa perusahaan kecil dan sederhana.
- Tiga bidang utama kerjasama dikenal pasti ialah memperkukuh daya tahan ekonomi, membangunkan keupayaan kecerdasan buatan tempatan, dan meningkatkan hubungan tenaga serantau.
- Malaysia menekankan kepentingan tadbir urus kukuh, kerangka kawal selia jelas, serta pelaburan Jepun dalam memodenkan infrastruktur grid tenaga ASEAN.
MANILA: Malaysia menggesa semakan menyeluruh lebih awal terhadap Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun (AJCEP) bagi mengurangkan halangan perdagangan, meluaskan akses pasaran serta memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata semakan itu penting bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang perniagaan antara ASEAN dan Jepun.
“Malaysia menggesa semakan menyeluruh lebih awal terhadap Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun bagi mengurangkan halangan perdagangan, meluaskan akses pasaran serta memperkasa PKS,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi pihaknya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-29 di sini, Selasa.
Anwar berkata, Jepun merupakan rakan lama ASEAN yang menyokong rantau ini melalui pelbagai fasa transformasi dan cabaran bersama sejak sekian lama.
Katanya, kedua-dua pihak perlu memanfaatkan asas hubungan sedia ada dengan memperluas kerjasama yang mampu memastikan perkongsian itu kekal relevan dan bersedia menghadapi keperluan masa depan.
Bagi mencapai matlamat itu, Malaysia mengenal pasti tiga bidang utama kerjasama, bermula dengan usaha memperkukuh daya tahan ekonomi dan peluang perniagaan.
Bidang kedua ialah pembangunan keupayaan kecerdasan buatan (AI) tempatan bagi menyokong inovasi perniagaan serta meningkatkan mutu perkhidmatan awam.
Anwar berkata, kerjasama ekonomi itu perlu memperkasa bakat tempatan untuk membangunkan keupayaan AI bagi membantu perniagaan berinovasi dan menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau turut menekankan kepentingan tadbir urus kukuh serta kerangka kawal selia yang jelas bagi memastikan ekosistem AI yang selamat, terjamin dan boleh dipercayai, selain menghormati kedaulatan negara serta undang-undang domestik.
Bidang ketiga pula membabitkan usaha mempertingkat hubungan dan daya tahan tenaga serantau, khususnya menerusi inisiatif Grid Kuasa ASEAN.
Anwar berkata, usaha mempercepat pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN penting bagi membuka peluang perdagangan tenaga boleh baharu rentas sempadan yang lebih lancar.
Katanya, pelaburan serta kepakaran teknikal Jepun boleh membantu memodenkan infrastruktur grid serantau dan menyokong peralihan tenaga yang lebih terjamin di rantau ini.