Ringkasan AI
- Malaysia sedang mendapatkan sokongan kerajaan dan industri Perancis untuk projek Grid Tenaga ASEAN, termasuk kabel dasar laut menghubungkan Sarawak, Semenanjung Malaysia dan negara jiran.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan kerjasama dalam pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran dan latihan antara Malaysia dan Perancis.
- Perdagangan dua hala Malaysia-Perancis pada 2025 berjumlah RM17.78 bilion, dengan Perancis sebagai rakan dagang ke-21 terbesar Malaysia secara global.
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mendapatkan sokongan daripada kerajaan dan industri Perancis untuk projek Grid Tenaga ASEAN (APG), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan menekankan kepentingan projek kabel dasar laut itu yang menghubungkan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia, Singapura dan negara jiran.
“Satu projek yang amat penting bagi kami ialah kabel dasar laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia, seterusnya ke Singapura dan negara-negara jiran,” kata beliau pada sidang media bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari ini.
Perdana Menteri turut menjelaskan sambungan kabel dasar laut dari Vietnam ke utara Semenanjung Malaysia dan Singapura serta rangkaian darat dari Laos.
Beliau berkata Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. telah menyatakan kesediaan untuk menyambung projek itu dari Sabah ke selatan Filipina.
“Projek ini penting dan kami memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan dan industri Perancis,” kata Anwar.
Macron, yang tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama dua hari, telah diberi sambutan negara di Dataran Merdeka di sini, diikuti pertemuan dua hala dengan Anwar.
Kedua-dua pemimpin itu turut menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang meliputi bidang kerjasama utama, termasuk pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal dan peralihan tenaga.
Mengenai perdagangan dan pelaburan dua hala, Anwar menekankan kerjasama antara Petronas dan TotalEnergies dari Perancis, yang telah membawa kepada pelaburan yang besar di Asia, Afrika dan Amerika Utara.
Beliau berkata Malaysia mengeksport mineral kritikal mentah ke Perancis kerana komitmennya untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam pemprosesan bahan itu.
“Kami tidak mengeksport bahan mentah tetapi kami berbuat demikian dengan Perancis kerana anda komited dalam pemprosesannya dan bekerjasama dengan rakyat Malaysia sebagai satu pasukan,” kata beliau.
Anwar berkata negara perlu bersedia untuk bekerjasama dalam pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran dan latihan supaya masing-masing dapat memperoleh manfaat dan saling menyokong.
“Selepas beberapa dekad mencapai kemerdekaan, amat penting bagi negara untuk menunjukkan kesediaan bekerjasama dalam pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran dan latihan supaya kita dapat memperoleh manfaat bersama serta saling menyokong,” kata Perdana Menteri.
Pada 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Perancis berjumlah RM17.78 bilion (AS$4.17 bilion), dengan eksport Malaysia bernilai RM6.05 bilion (AS$1.41 bilion), terdiri daripada terutamanya produk elektrik dan elektronik.
Import dari Perancis berjumlah RM11.73 bilion (AS$2.76 bilion), terdiri daripada terutamanya peralatan pengangkutan, jentera dan bahan kimia.
Perancis merupakan rakan dagang ke-21 terbesar Malaysia pada peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara-negara Eropah pada 2025.
-- BERNAMA