ANKARA: Negeri Australia Barat mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan semula mandat pemakaian pelitup muka di hospital-hospital di ibu negerinya Perth susulan peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan.

Pesakit dan kakitangan hospital akan mula memakai pelitup muka mulai Isnin, lapor akhbar harian tempatan WA Today pada Jumaat.

Ketua Pegawai Kesihatan Negeri Andy Robertson berkata kes-kes baharu di Australia Barat mencatatkan peningkatkan sejak awal September.

"Ini merupakan sebahagian daripada evolusi berterusan COVID-19 dalam masyarakat kerana imuniti individu semakin berkurangan dari semasa ke semasa," kata Robertson yang dipetik akhbar harian itu.

Beliau juga menasihatkan agar hospital swasta dan kemudahan penjagaan warga emas membuat peraturan mereka mengenai pemakaian pelitup muka yang lebih ketat untuk kakitangan dan pengunjung.

Sepanjang minggu lepas, sebanyak 531 kes dilaporkan di Australia Barat, dengan 57 daripadanya dimasukkan ke hospital manakala empat kematian dilaporkan, menurut laporan itu.

-- BERNAMA