CANBERRA: Pengguna media sosial di Australia akan diberi pilihan untuk tidak menggunakan algoritma di bawah undang-undang yang dicadangkan kerajaan pada Selasa, yang akan memberi pengguna lebih kawalan terhadap kandungan pada paparan media sosial mereka, lapor Associated Press (AP).
“Kami akan mewajibkan platform media sosial menyediakan alat yang memberi pengguna berusia 16 tahun ke atas kuasa untuk membuat pilihan sebenar dan berterusan mengenai apa yang mereka lihat di paparan masing-masing,” kata Perdana Menteri Anthony Albanese kepada pemberita di Canberra.
Undang-undang yang dicadangkan itu turut akan melindungi kanak-kanak daripada kandungan yang mempromosikan gangguan pemakanan, pandangan bermusuhan terhadap wanita, pornografi, jenayah, aksi berbahaya serta kandungan yang menyebabkan tekanan kesihatan mental yang serius.
Langkah untuk memberikan pengguna lebih kawalan dan meningkatkan keselamatan kanak-kanak dalam talian itu susulan Australia memperkenalkan undang-undang pertama seumpamanya di dunia pada Disember tahun lepas yang melarang kanak-kanak berusia bawah 16 tahun daripada memiliki akaun di platform media sosial terbesar dunia, termasuk Instagram, Facebook dan TikTok.
“Ia memberikan pilihan kepada pengguna dan akan memastikan syarikat teknologi gergasi bertanggungjawab atas kegagalan bertindak. Jika mereka tidak mematuhi undang-undang kita, mereka akan berdepan penalti yang besar,” kata Albanese lagi. Penalti di bawah undang-undang Tanggungjawab Penjagaan Digital yang dicadangkan itu boleh mencecah A$109.2 juta (US$78.6 juta).
Platform media sosial akan diwajibkan menghantar pemberitahuan kepada pengguna baharu dan sedia ada bagi menawarkan pilihan ke atas paparan lalai mereka, menurut kenyataan kerajaan.
Pengguna boleh memilih untuk membenarkan paparan lalai mereka memaparkan kandungan diperibadikan yang disyorkan oleh algoritma. Sebagai alternatif, pengguna boleh melihat kandungan daripada rakan dan pencipta kandungan yang mereka pilih untuk ikuti.
Perkhidmatan digital termasuk permainan dalam talian, aplikasi dan chatbot kecerdasan buatan turut diwajibkan melindungi kanak-kanak daripada ciri reka bentuk yang memberi kesan negatif terhadap tingkah laku, seperti ciri yang boleh menyebabkan ketagihan serta yang menjejaskan harga diri, menurut kenyataan itu.
Pada April, badan pemerhati keselamatan dalam talian Australia berkata, ia sedang mempertimbangkan tindakan mahkamah terhadap Facebook, Instagram, Snapchat, TikTok dan YouTube, dengan mendakwa platform berkenaan tidak melakukan secukupnya untuk menghalang kanak-kanak Australia berusia bawah 16 tahun daripada menggunakan platform mereka.
-- BERNAMA-AP