CANBERRA: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, mengesahkan beberapa aset ketenteraan telah dikerah ke Asia Barat sebagai sebahagian pelan luar jangka bagi menghadapi perkembangan konflik yang semakin meruncing di rantau itu, susulan serangan udara Amerika Syarikat–Israel ke atas Iran yang mencetuskan peperangan serantau.
Berucap di Parlimen Australia, Albanese berkata kerajaan turut menghantar enam pasukan tindak balas krisis ke rantau berkenaan bagi menyelaraskan urusan pemindahan rakyat.
Advertisement
“Kita telah mengerahkan aset ketenteraan sebagai sebahagian daripada perancangan luar jangka awal minggu ini.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Australia yang sanggup memasuki situasi berbahaya demi membantu rakan senegara mereka,” katanya.
Walaupun beliau tidak memperincikan jenis aset yang dihantar, laporan media tempatan menyebut ia melibatkan beberapa pesawat pengangkut, dengan anggaran sekitar 115,000 warga Australia kini berada di rantau Asia Barat.
Dalam perkembangan berkaitan, New Zealand turut mengerahkan dua pesawat tentera ke Asia Barat pada Khamis bagi bersiap sedia menjalankan operasi pemindahan warganya, selaras tindakan negara-negara lain yang mula mengatur langkah keselamatan dan evakuasi.