Skip to main content

Dunia

Australia sahkan kematian besar-besaran burung akibat H5N1

41763285542_AvianFlu.jpg
Sebanyak 49 ekor burung ditemukan mati manakala 35 lagi sakit di sebuah pulau kecil kira-kira lima kilometer dari pantai tenggara Australia Selatan menerusi pemantauan udara pada Jumaat.
Advertisement

CANBERRA: Australia mengesahkan kejadian pertama kematian besar-besaran akibat selesema burung H5N1 membabitkan sekumpulan burung dara laut jambul besar yang ditemukan di sebuah pulau di luar pesisir pantai Australia Selatan, menurut pihak berkuasa pada Isnin, lapor Xinhua.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Perhutanan, Julie Collins serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Murray Watt memaklumkan kepada pemberita, semua burung itu disahkan positif strain H5N1 influenza burung yang sangat patogenik.

Sebanyak 49 ekor burung ditemukan mati manakala 35 lagi sakit di sebuah pulau kecil kira-kira lima kilometer dari pantai tenggara Australia Selatan menerusi pemantauan udara pada Jumaat, susulan peningkatan kes H5N1 di negeri itu.

Collins berkata pada Isnin bahawa kejadian kematian besar-besaran itu dijangka selepas strain berkenaan dikesan buat kali pertama di tanah besar Australia pada pertengahan Jun.

"Malangnya, kami tahu bahawa apabila selesema burung H5 merebak dalam hidupan liar dan persekitaran semula jadi, adalah mustahil untuk mengelakkan kematian yang banyak dan itulah yang mula kita saksikan sekarang," katanya.

"Rakyat Australia perlu bersedia untuk menyaksikan penularan yang lebih meluas serta lebih banyak hidupan liar terjejas."

Sebelum strain itu dikesan di tanah besar Australia, kerajaan Persekutuan memperuntukkan AU$113 juta (AS$79.5 juta) bagi langkah pemantauan, tindak balas dan kesiapsiagaan menghadapi wabak H5N1.

Watt berkata pada Isnin bahawa pelan pengurusan kebangsaan bagi menangani strain itu  diaktifkan, dengan tambahan peruntukan sebanyak AU$24 juta (AS$16.9 juta) disalurkan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement