SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, negaranya bersedia menyokong usaha memulihkan kestabilan dan keselamatan di Selat Hormuz, sambil menyatakan harapan agar pengumuman pembukaan semula laluan maritim itu dapat dikekalkan.
Menerusi hantaran di platform X, Albanese berkata, Australia mahu melihat keputusan pembukaan semula Selat Hormuz benar-benar dilaksanakan dan tidak bersifat sementara.
Advertisement
Kenyataan itu dibuat selepas beliau menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin secara maya mengenai Selat Hormuz, yang dipengerusikan bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer.
“Australia bersedia untuk menyokong usaha bagi memulihkan kestabilan dan keselamatan di Selat Hormuz,” tulis Albanese.
Beliau turut memberi amaran bahawa konflik yang berlarutan akan membawa kesan besar terhadap ekonomi global serta meningkatkan kos kemanusiaan.
“Semakin lama perang berterusan, semakin besar kesannya terhadap ekonomi dunia, dan semakin tinggi kos kemanusiaan yang perlu ditanggung,” katanya.
Menurut Albanese, rakyat Australia kini sudah mula merasai kesan gangguan itu, khususnya dari segi bekalan dan harga bahan api, dan kerajaan sedang berusaha melindungi keluarga daripada kesan terburuk.
Australia sangat bergantung kepada import bahan api bertapis dari negara Asia Tenggara, yang seterusnya mengimport minyak mentah melalui Selat Hormuz.
Situasi itu bermakna Australia berdepan risiko masalah bekalan yang semakin serius sekiranya penutupan laluan perairan strategik itu berterusan. - Agensi