SYDNEY: Pihak berkuasa Australia sedang menyiasat asal-usul enam sfera besar misteri yang ditemukan terdampar di sebuah pantai di utara Queensland hujung minggu lalu, yang dipercayai mungkin merupakan serpihan objek angkasa.
Objek pepejal berkenaan ditemui di Forrest Beach, utara Townsville, dan kini sedang diperiksa oleh Agensi Angkasa Australia (ASA) bagi mengenal pasti sumber serta komposisinya.
Pasukan kecemasan dilaporkan dilihat mengendalikan objek tersebut dengan memakai pakaian perlindungan khas sebelum memasukkannya ke dalam tong bahan berbahaya (hazmat) di bawah kawalan polis.
Langkah itu diambil berikutan kebimbangan bahawa sfera berkenaan mungkin mengandungi bahan yang berpotensi berbahaya.
Jabatan Bomba Queensland memaklumkan kawasan larangan sejauh 50 meter masih dikuatkuasakan di sekitar lokasi penemuan.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menyentuh sebarang objek mencurigakan yang ditemui di kawasan berkenaan dan segera menghubungi pihak kecemasan.
Spekulasi yang tersebar dalam talian menyatakan sfera tersebut mungkin merupakan tangki bahan pendorong milik kapal angkasa, yang berkemungkinan masih mengandungi sisa bahan mudah terbakar atau bahan kimia reaktif.
Pemilik premis makanan Forrest Beach Takeaway, Lisa Scobie, berkata penduduk setempat amat ingin mengetahui asal-usul objek misteri itu.
“Kawasan ini biasanya sangat tenang dan tidak banyak perkara berlaku di sini. Jadi, kehadiran aktiviti tambahan seperti ini sudah tentu menimbulkan keterujaan dalam kalangan penduduk,” katanya kepada penyiar awam ABC.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama objek misteri berkaitan angkasa ditemui di pesisir pantai Australia.
Pada 2023, India mengesahkan sebuah kubah logam gergasi yang terdampar di pantai Australia Barat berhampiran Perth merupakan serpihan daripada salah satu roket negara itu.
Jurucakap agensi angkasa India kemudian memaklumkan bahawa objek berkenaan berasal daripada Kenderaan Pelancar Satelit Kutub (PSLV) milik negara tersebut.
Pada 2011, sebuah objek berbentuk sfera yang hampir sama turut ditemukan di kawasan padang rumput terpencil di Namibia, Afrika Selatan.
Ketika itu, pakar berpendapat ia berkemungkinan merupakan tangki bahan api atau tangki simpanan hidrazina daripada roket tanpa pemandu.
Hidrazina merupakan bahan pendorong yang sangat tidak stabil dan mudah terbakar, sekali gus menjelaskan mengapa pihak berkuasa Australia mengambil pendekatan berhati-hati dalam mengendalikan penemuan terbaharu itu.
Siasatan masih diteruskan bagi menentukan sama ada sfera misteri tersebut benar-benar serpihan angkasa atau mempunyai asal-usul lain.