Seorang ahli antropologi kebudayaan dan politik berpendapat negara anggota ASEAN perlu menimbang untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi memudahkan mobiliti pelajar mereka serta bekerjasama dalam bidang pendidikan.

"Suruhanjaya ini diperlukan untuk menambah baik kurikulum pendidikan dan agenda penyelidikan serta menyeragamkan kualiti perkhidmatan pendidikan di rantau ini," kata pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia Dr Aris Arif Mundayat kepada Bernama pada Persidangan Kepimpinan Wanita Muda ASEAN (AYWLC) 2015 di sini pada Isnin.

Aris berkata komuniti ASEAN juga perlu mewujudkan program pengajian bersama yang mengiktiraf pemindahan kredit dan kelayakan bagi memudahkan mobiliti pelajar dari negara anggota ASEAN di rantau ini.

"Kita perlu mewujudkan identiti ASEAN untuk mencapai integrasi pada masa depan dan walaupun ini akan mengambil masa, tapi sekurang-kurangnya, kini kita boleh mula menggerakkan interaksi dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi memajukan institusi pendidikan kita," kata warganegara Indonesia itu.

Aris juga menggesa negara anggota ASEAN memperjuangkan agar bahasa Melayu dijadikan lingua franca di rantau Asia Tenggara.

"Bahasa diperlukan untuk melancarkan lagi integrasi dan interaksi, maka kita perlu menimbang untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca bagi rantau ini kerana majoriti penduduk di rantau ini bercakap bahasa Melayu," katanya.

Bagaimanapun, Aris menegaskan bahawa penduduk di rantau ini juga perlu mempelajari sebanyak mungkin bahasa lain agar proses integrasi tidak menghadapi banyak halangan.

Sementara itu, ketika menyokong usul tersebut, ahli antropologi sosial, Eddin Khoo berkata penduduk ASEAN juga patut memupuk budaya komuniti pelbagai bahasa, bukan komuniti dwibahasa sahaja.

"Apa yang amat perlu kita lakukan dalam ASEAN ialah memupuk budaya pelbagai bahasa agar setiap orang berpeluang untuk berinteraksi antara satu sama lain," katanya.

AYWLC 2015 selama dua hari, yang bermula hari ini, dihadiri lebih 500 wanita muda terdiri daripada ahli politik, pemimpin pelajar, usahawan, aktivis sosial dan wakil agensi serta badan bukan kerajaan dari negara anggota ASEAN.

Bertemakan 'Perpaduan Dalam Harmoni', persidangan yang julung kali diadakan itu adalah anjuran bersama Malaysia Young Future Aspirations (MYFaR) dan Biro Antarabangsaa dan IPT Puteri UMNO.