Skip to main content

Malaysia

Bawa petrol dalam botol, penunggang motosikal melecur disambar api

Motosikal ditunggang mangsa mengalami kerosakan selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 48, Jalan Persekutuan di Sabak Bernama pada Ahad.
Motosikal ditunggang mangsa mengalami kerosakan selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 48, Jalan Persekutuan di Sabak Bernam pada Ahad.

SABAK BERNAM: Seorang penunggang motosikal cedera selepas hilang kawalan sebelum petrol dibawanya terbakar dan menyambar badan dalam kejadian di Kilometer 48, Jalan Persekutuan di sini pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

Advertisement

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lelaki berusia 19 tahun itu membuat pusingan U di Pekan Sungai Besar selepas keluar dari sebuah stesen minyak sebelum hilang kawalan ketika menghala ke Klang untuk pulang ke rumah.

"Akibat hilang kawalan, motosikal terbabit melanggar penutup lubang konkrit di bahu kiri jalan lalu terjatuh.

"Pada masa sama, botol plastik berisi petrol yang dibawa mangsa terbakar ketika motosikal terseret di atas jalan sebelum api menyambar bahagian badan dan paha mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Md Yusof memberitahu, mangsa mengalami kesan melecur 9.5 peratus pada bahagian muka, badan dan kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Sarjan Mohd Termizi Zulkopli di talian 014-8670835," tambah beliau. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video