ISTANBUL: Azerbaijan dan Armenia bersetuju untuk memulakan "proses konkrit" ke arah rundingan damai, kata Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) Charles Michel pada Rabu selepas mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pemimpin di Brussels.

Beliau berkata "banyak kemajuan" dicapai selepas pertemuan selama lima jam dengan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev dan Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan.

Para pemimpin juga bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersama dan mengekalkan "saluran komunikasi", lapor Agensi Anadolu.

Michel turut mengeluarkan kenyataan mengenai hasil mesyuarat tiga penjuru itu, serta mengulangi komitmen Kesatuan Eropah untuk "meningkatkan kerjasama dengan Armenia dan Azerbaijan" bagi membendung ketegangan di Caucasus Selatan dan menjamin "keselamatan, kestabilan, serta wilayah yang aman dan makmur".

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin menzahirkan keinginan "ke arah mempercepatkan perjanjian damai antara dua negara."

"Menteri-menteri luar negeri akan diminta menyediakan perjanjian damai masa depan dengan mengambil kira pelbagai isu penting," Michel dipetik sebagai berkata.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju mengadakan Suruhanjaya Sempadan Bersama pada hujung April.

"Mandat Suruhanjaya Sempadan Bersama berfungsi menentukan sempadan dua hala antara Armenia dan Azerbaijan dan memastikan keselamatan di sepanjang, dan di sekitar sempadan," menurut kenyataan itu.

Hubungan antara kedua-dua negara bekas Soviet itu tegang sejak 1991, apabila tentera Armenia menduduki Nagorno-Karabakh, juga dikenali sebagai Upper Karabakh, sebuah wilayah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Azerbaijan.

Pertempuran meletus pada September 2020, dan konflik selama 44 hari itu menyaksikan Azerbaijan membebaskan beberapa bandar dan lebih 300 penempatan dan kampung yang diduduki Armenia selama hampir 30 tahun.

Perjanjian tiga penjuru telah ditaja Rusia demi menamatkan perang pada November 2020.

-- BERNAMA